Thursday, March 5, 2009

Kuliah pada 6 Mac 2009 digantikan dengan Tugasan di Perpustakaan

Kuliah pada 6 Mac 2009 digantikan dengan tugasan berikut:

Sila buat rujukan perpustakaan dan sempurnakan tugasan berikut:

1. Siapkan bacaan bab yang ditugaskan kepada setiap pelajar. Buat nota ringkas 1000 perkataan tentang apa yang dibaca. (10 markah)

2. Semak dan kemaskan nota kuliah masing-masing. (10 markah)

3. Buat esei mengenai penguasaan kanak-kanak berdasarkan data yang dipungut selama dua bulan. Buat huraian dan tafsiran menurut teori psikolinguistik yang dipelajari. (40 markah)

Tugasan 1 dan 2 hendaklah diemelkan kepada saya pada 11 Mac 2009.

Tugasan 3 hendaklah disempurnakan dan diemelkan kepada saya pada akhir Mac 2009.

Saturday, February 28, 2009

BELAJAR BAHASA KEDUA

Kita telah mengatakan bahawa pemerolehan bahasa ibu itu berlaku di kalangan kanak-kanak secara tidak formal, yakni tidak perlu diajar. Bahasa kedua pula terpaksa dipelajari dan hanya berkembang melalui latihan dan pengukuhan. Bukan itu sahaja yang berlaku. Kita mesti mempunyai dorongan dan sikap yang sihat untuk dapat belajar dengan berkesan. Dorongan dan sikap yang sihat ini menjadi faktor sosial dan budaya. Tegasnya ada perbezaan yang besar antara memperolehi bahasa pertama dan mempelajari bahasa kedua. Bahasa pertama dikuasai secara tidak formal. Ia tidak perlu diajar dan kanak-kanak pandai tanpa pembelajaran. Kanak-kanak hanya perlu didedahkan kepada bahasa dan mereka akan pandai dengan sendirinya. Kita terpaksa belajar bahasa kedua melalui rancangan dan kaedah tertentu. Di sini kita tumpukan pula perhatian kita kepada pembelajaran bahasa sebagai bahasa kedua. Ini mungkin memberi kita pengetahuan mengenai masalah penting dan sukar diatasi di negara ini. Misalnya, pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa pertama kepada anak-anak Melayu mungkin tidak menimbulkan masalah besar. Tetapi, pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa kedua kepada kaum pendatang yang tinggal di Malaysia ini, masih belum menghasilkan kejayaan yang dijangka. Kita tidak perlu membuat kajian yang mendalam. Sekali imbas kita dapat melihat bahawa kaum mendatang ini tidak dapat mempelajari bahasa Melayu dengan baik. Dengan kaedah, bahan, guru dan masa yang diberi, maka sebenarnya sangat aneh kenapa orang bukan Melayu tidak cepat, bahkan tidak dapat mempelajari bahasa Melayu dengan fasih. Walau bagaimanapun, mungkin ada masalah guru kerana di mana-mana terdapat kekurangan guru bahasa Melayu. Juga, ada guru bukan Melayu yang masih belum fasih atau baik pencapaian bahasanya, ditugaskan mengajar bahasa Melayu.

Mungkin salah satu dari masalah yang besar ialah, bahasa Melayu yang diajar itu amat formal dan tidak ada kegunaan atau persamaannya dengan bahasa yang digunakan hari-hari, sehingga murid-murid terpaksa memperlajari suatu dialek yang berlainan yang tidak boleh mereka tuturkan di luar kelas. Masalah ini dihadapi oleh kedua-dua murid Melayu atau bukan Melayu. Dengan kata lain, bahasa yang diajar itu tidak mengambil kira lingkungan kebudayaannya di mana ia dituturkan. Pengajaran dan pembelajaran mana-mana bahasa kedua itu, hendaklah dilakukan dalam konteks kebudayaan dan sosial yang hidup, iaitu perlulah diajar bahasa yang dipertuturkan hari-hari. Dengan itu maka dapatlah dikatakan yang pembelajaran bahasa Melayu di Malaysia oleh kaum bukan Melayu itu hendaklah dengan menggunakan dialek yang betul-betul dituturkan supaya mereka dapat menggunakannya di luar kelas. Apa yang diajar di sekolah itu jarang benar dapat digunakan di luar kelas tanpa merasa janggal. Selalunya bahasa yang diajar berbentuk bahasa pesuratan dan ia tidak dipakai dalam perbualan hari-hari, walaupun oleh orang Melayu sendiri.


PROSES MENJADI DWIBAHASA

Tadi telah dibincangkan proses penguasaan bahasa secara teori behaviorisme dan secara biologis. Sekarang marilah pula kita lihat dari segi sosiolinguistik pula tentang pembelajaran bahasa di kalangan orang dewasa. Dalam proses mempelajari bahasa kedua ini, kita akan menumpukan perhatian kepada proses pembelajaran bahasa kedua oleh mereka yang sudah dewasa, atau mereka yang sudah melebihi jangkamasa yang subur untuk perkembangan bahasa secara semulajadi. Jadi pembelajaran bahasa asing itu tidak lagi berlaku secara semulajadi. Pembelajaran itu perlulah berlaku dalam satu lingkungan sosial di mana bahasa itu dituturkan, iaitu di dalam kegiatan sesuatu kebudayaan tertentu. Proses menjadi dwi-bahasa ini dapat dikatakan proses menghilangkan keasingan yang dirasai oleh seseorang pelajar dalam kebudayaan bahasa yang dipelajari itu. Dalam hal ini linguistik dan sosiologi saling berjalinan. Sebenarnya ini merupakan suatu masalah persepaduan yang amat kompleks di mana seseorang pelajar itu mencuba meresapkan ciri-ciri kebudayaan, iaitu di mana bahasa itu dituturkan. Dalam hal ini lakuan kebudayaan dan linguistik yang sudah ada padanya, iaitu dari bahasa ibunya, sentiasa mempengaruhi proses pembelajaran bahasa kedua tersebut. Si pelajar itu terpaksa menguasai lakuan yang baharu dan terpaksa memilih dalam mempergunakan yang baharu atau yang lama itu mengikut keperluan konteks. Gangguan dari sesuatu unsur bahasa ibu sentiasa berlaku semasa seorang dewasa mempelajari satu bahasa lain. Ini dapat kita perhatikan dari satu contoh bahawa dalam mempelajari bahasa Inggeris, seorang Melayu harus dipengaruhi oleh lakuan sebutan dalam bahasa Melayu. Misalnya dalam menyebut bunyi t sudah tentu seseorang Melayu tidak akan menyebutnya dengan aspirasi sebagaimana dalam bahasa Inggeris. Umpamanya dia akan menyebut perkataan hat sebagai [hat] sahaja dan tidak [hath] sebagaimana yang diucapkan oleh orang Inggeris. Sebagai satu contoh lagi di mana proses pembelajaran bahasa itu dapat dikatakan satu proses menguasai lakuan baharu, maka dapat pula dilihat seorang penutur bahasa Melayu akan terus mempergunakan katapartikel lah walaupun dia bertutur dalam bahasa Inggeris. Umpamanya I want to go homelah jelas menampakkan kepada kita bahawa unsur lakuan dalam ayat bahasa Melayu seperti lah dipindahkan ke bahasa Inggeris. Oleh yang demikian bagaimanakah agaknya orang dewasa itu mempelajari pola-pola bahasa kedua itu?


MEMBENTUK LAKUAN BAHASA MELALUI LATIHAN

Di sini kita mengambil tauladan dari bagaimana bahasa pertama itu dikuasai. Mengikut teori behaviorisme, lakuan itu terbentuk melalui lakuan yang diulang dan dikukuhkan. Oleh itu sebagai orang dewasa, kita terpaksa berlatih untuk mempelajari bahasa kedua. Kita terpaksa berlatih dengan begitu rapi lebih-lebih lagi dalam bahagian di mana lakuan bahasa ibu kita mengganggu pembentukan lakuan bahasa yang sedang dipelajari. Oleh itu mempelajari bahasa ini mungkin dapat dikatakan suatu proses mempelajari lakuan baharu, samalah seperti seorang yang biasa memandu kereta di sebelah kanan jalan dan kemudian terpaksa memandu di sebelah kiri jalan. Dalam hal ini terdapat kecenderungan untuk mempergunakan lakuan yang lama. Oleh itu di mana perlu lakuan yang sama itu diperkenalkan dahulu dan kita harus berhati-hati supaya mempelajari mempergunakan lakuan yang baharu atau yang tidak sama dengan dalam bahasa kandungannya. Proses mempelajari bahasa itu menumpukan perhatian kepada proses pembelajaran perbezaan dan persamaan di antara kedua lakuan bahasa itu.


Keperluan Latihan

Kita dapat perhatikan bahawa perkara yang penting sekali dalam hal pembelajaran bahasa kedua itu ialah latihan. Walau bagaimanapun haruslah diketahui bahawa latihan itu hanyalah merupakan satu bahagian sahaja daripada seluruh proses menjadi dwibahasa. Latihan yang demikian mencakupi latihan mendengar, pendedahan terhadap penggunaan bahasa itu, berfikir, bercakap sama dengan menggunakan satu bahan pengajaran yang tersusun rapi ataupun dengan menggunakan bahan yang dibentuk secara rambang. Tidaklah termasuk pada akal bahawa ada bahasa yang dapat ipelajari tanpa latihan. Ini tidaklah pula bermakna bahawa latihan itu sahaja yang penting kerana sebenarnya ada unsur-unsur lain yang terlibat. Latihan memanglah dapat membentuk lakuan. Walau bagaimanapun, ada kemungkinan bahawa lakuan juga dapat terbentuk di luar dari apa yang kita katakan latihan, tetapi contoh begitu sangat sukar didapati, iaitu mungkin melalui satu teori dan teknik pembelajaran yang baharu yang tidak dapat kita gambarkan di sini.


Dorongan untuk Mempelajari Bahasa Kedua

Kita cuba bincangkan kenapa agaknya orang menjadi dwi-bahasa. Misalnya, seorang penjaja ais kacang bangsa India di Pulau Pinang fasih menggunakan bahasa kandungnya Tamil, bijak berbahasa Melayu, tahu bercakap Cina dialek Hokkien dan juga dia boleh berbahasa Inggeris sedikit-sedikit. Bahkan ini merupakan suatu ciri umum bagi ramai di antara penduduk Pulau Pinang. Walau bagaimanapun orang India ini tidaklah berpangkat tinggi. Seorang pegawai tinggi pula hanya pandai berbahasa Inggeris dan Melayu yang dikuasainya sebagai bahasa kandung. Kalau kita ke tempat lain, di Balik Pulau misalnya, terdapat pula penduduk Melayu yang hanya tahu menggunakan bahasa kandungnya sahaja dan tidak tahu menuturkan bahasa lain. Terdapat pula penduduk Cina di Paya Terubung yang hanya tahu bahasa Cina sahaja dan tidak yang lain.

Apakah sebabnya setengah manusia perlu bertutur lebih dari satu bahasa dan setengahnya tidak? Di Pulau Pinang keadaan begini timbul kerana mereka berbilang kaum, jadi setiap kaum mengekalkan bahasanya untuk berhubung dengan anggota masyarakatnya. Di samping itu mereka perlu menuturkan bahasa lain untuk berhubung dengan anggota masyarakat dari kaum lain. Ternyata di sini bahawa di bandar Pulau Pinang keadaannya memang menyenangkan. Sesiapa sahaja akan dapat mempelajari dua tiga bahasa dengan mudah. Tetapi mereka yang tinggal di tempat lain di pulau itu, tidaklah mengetahui bahasa lain daripada bahasa kandungnya untuk berhubung dengan kaum lain, kalau adapun, mungkin melalui bahasa Melayu pasar. Hal ini memberitahu kita kenapa manusia mesti mempelajari bahasa lain dari bahasa kandungnya. Pokoknya, berjuta-juta manusia cuba mempelajari bahasa lain kerana ingin berhubung dengan orang lain. Seseorang yang masuk ke dalam sesebuah masyarakat baharu itu tentu dianggap asing. Selalunya keasingan ini akan beransur hilang apabila dia telah fasih dalam bahasa yang dituturkan oleh masyarakat yang menerimanya itu.


Penerimaan ke dalam Masyarakat Baharu

Perhubungan dalam sesuatu masyarakat itulah yang akan dapat menghilangkan segala ciri keasingan yang dirasai oleh seseorang asing itu. Orang asing itu tadi sentiasa dikelilingi lingkungan yang asing. Oleh itu dia akan mencuba untuk mengatasi masalah ini dengan menghilangkan unsur keasingan ini dan menjadi salah seorang anggota dari masyarakat baharu itu pula. Dalam hal ini memang boleh didapati bahawa ada orang yang tidak pernah bergaul dengan anggota masyarakat lain merasa tidak perlu mencuba untuk menghilangkan unsur keasingan ini. Ada penduduk mendatang di Malaysia yang boleh hidup terasing. Mereka tinggal dalam masyarakat kaum sendiri, bersekolah, bekerja dan bergaul dengan tidak sedikit pun memerlukan penggunaan bahasa Melayu. Pernah ditemui seorang tua Tamil di Pulau Pinang yang bekerja sebagai nelayan yang pergi ke laut berseorangan pada tiap-tiap hari. Dia menjual hasil tangakapannya kepada seorang India lain. Walaupun umurnya sudah 53 tahun (menurut kawannya kerana dia tidak memahami bahasa Melayu) dia tidak tahu bertutur bahasa Melayu sepatah pun. Dia tidak pernah dan tidak perlu berhubung dengan penutur lain dari penutur bahasa Tamil dalam seumur hidupnya.


Peringkat Pencapaian yang Perlu

Walau bagaimanapun, tentu diakui ramai, bahawa keperluan mempelajari sesuatu bahasa asing itu dan juga peringkat kecapaiannya bergantung pada dorongannya sendiri. Jelas sekali dorongan mempelajari bahasa Melayu sebagai keperluan kelulusan untuk melanjutkan pelajaran dan mendapat pekerjaan atau penetapan dalam jawatan menjadi faktor mendorong kaum lain mempelajari bahasa Melayu. Ramai pula yang terdorong mempelajari bahasa Inggeris untuk tujuan yang sama. Bagi ahli politik kefasihan dalam bahasa Inggeris memberi kemungkinan yang lebih luas dalam tindak-tanduknya. Ada pula golongan yang mempelajari bahasa untuk mengeksploit, misalnya penjajah Inggeris yang datang ke Tanah Melayu dahulu mempelajari bahasa Melayu semata-mata u tuk mengeksploit ekonomi dan pentadbiran di Tanah Melayu. Tetapi dalam mempelajari sesuatu bahasa itu, maka amat mustahak seseorang itu mengekalkan dorongan pembelajaran itu. Hanya mereka yang betul-betul berminat dan berkesanggupan serta yakin bahawa bahasa itu akan membantunya maka dia akan berjaya dalam usaha tersebut.

Memang benar bahawa bahasa kedua itu amat penting untuk perhubungan, walaupun secara amnya perhubungan masih boleh berlaku tanpa bahasa. Sebenarnya perhubungan tanpa bahasa itu amat terhad. Hanya mereka yang ingin terus tinggal sebagai orang asing dalam sebuah mas arakat itu sahaja yang akan terus tidak memperdulikan keperluan bahasa kedua itu. Walaupun kemahiran dalam bahasa kedua itu dapat dianggap opsyenal, tetapi ternyata bahawa perhubungan akan menjadi terhad dan kaum pendatang itu tidak akan dapat menjadi sebagai sebahagian dari masyarakat itu tanpa menggunakannya. Satu contoh kecil, marilah kita lihat masyarakat Gurkha yang dahulunya bekerja sebagai askar upahan Inggeris di Malaysia. Sekarang ada yang tinggal di Malaysia berjaja bermacam jenis manik dan batu perhiasan di kaki lima kedai dalam bandar-bandar besar. Mereka memang suatu masyarakat yang terasing. Mereka tidak pernah mencuba bercampur dan tidak pernah menggunakan bahasa Melayu untuk berhubung dengan masyarakat tempatan, selain daripada hubungan jual beli yang amat terhad itu. Akibatnya, mereka terus terasing. Pencapaian bahasa Melayu mereka amat rendah sekali.


PEMELIHARAAN BAHASA KANDUNG

Dalam usaha mempelajari bahasa kedua untuk sesuatu tujuan, maka selalulah terdapat konflik di antara pemeliharaan bahasa kandung, dan pembelajaran bahasa kedua. Dalam sebuah kajian untuk ijazah Sarjana Sastera di Universiti Malaya, pada tahun 1971, Mohd. Khalid cuba melihat keperluan pemeliharaan bahasa Melayu sebagai bahasa kandung di kalangan mereka yang mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah. Dari golongan pelajar yang dikaji, tidak ada mereka yang betul-betul lancar dalam kedua-dua bahasa tersebut. Mereka hanya lancar dalam bahasa kandung dan mereka bergantung kepada bahasa Inggeris, untuk kepentingan akademik. Kemahiran kedwibahasaan sebenarnya mempunyai pertalian rapat dengan pola-pola persekolahan yang telah dialami oleh pelajar tersebut. Dalam kebanyakan hal mereka salah faham dalam menganggarkan darjat kemahiran mereka. Umumnya terdapat mereka yang menyangka bahawa mereka itu lebih atau kurang mahir dalam bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun boleh dibuat satu generalisasi bahawa kemahiran mereka dalam bahasa kandung memang cukup baik, manakala kemahiran mereka dalam bahasa kedua tidaklah sempurna.

Kedominan bahasa kandung dalam suasana tidak formal didapati wujud dalam kalangan ramai pelajar itu. Mereka selalu terpaksa mematuhi tekanan sosial yang terbit dari kedominan itu. Fakta ini juga merupakan sebab yang membolehkan terpeliharanya bahasa kandung di kalangan pelajar-pelajar tersebut sungguhpun terdapat serangan yang hebat dari bahasa kedua dalam suasana formal yang dialami oleh mereka ketika menjalani pengajian di universiti. Di samping itu, nilai peribadi mereka terhadap bahasa kandung menjadi faktor pendorong yang kuat ke arah pemeliharaan bahasa tersebut.

Kedominan bahasa Melayu dalam masyarakat di sekitar pelajar ini jelas menjadi faktor dalam pemeliharaan bahasa kandung itu. Mereka memberi alasan bahawa pendirian mereka disebabkan adanya keadaan ini. Sehingga kedominan bahasa Melayu wujud sebagai kenyataan dalam semua bidang hidup dalam negara ini, maka selama itulah mereka perlu menjadi dwibahasa untuk menampung keperluan mereka dalam semua bidang. Oleh kerana pentingnya faktor-faktor sosiobudayanya dalam sebarang fenomena mengenai bahasa dan penggunaannya, maka dalam mencari sebab-sebab mengapa setengah golongan penutur mempunyai nilai dan sikap tertentu terhadap bahasa, maka kita harus mengingati suasana sosial dan faktor- faktor yang wujud. Oleh sebab nilai ekonomi, sosial serta ilmiah yang tinggi diberi pada bahasa Inggeris, maka itulah sebabnya ia wujud mempersaingi bahasa Melayu. Penutur akan terus terpaksa mempelajarinya bagi mencapai cita-cita ekonomi dan sosial mereka. Kalau kedominan itu tidak dapat diatasi oleh bahasa Melayu maka selama itulah ia akan terus memberi kuasa dorongan dan sikap yang positif bagi orang mempelajari bahasa Inggeris.

Akhirnya boleh dikatakan bahawa di kalangan pelajar yang dikaji itu, bahasa kandung memang sedia dominan dan penggunaannya sentiasa terpelihara sungguhpun tidak semua suasana yang disertai oleh pelajar itu mempunyai corak kedominan bahasa kandung yang serupa dengan keadaan pada keluarga masing-masing. Selagi kedominan bahasa Melayu terpelihara dalam keluarga, besar kemungkinannya bahawa bahasa itu akan terpelihara penggunaannya sekalipun lebih ramai orang Melayu menjadi dwibahasa atau sekalipun masyarakat di sekitar keluarga memperlihatkan kedominan bahasa itu pada dokumen sahaja. Tetapi, kalau corak kedominan itu berubah dalam suasana keluarga dan rumahtangga, besar kemungkinannya bahawa penutur-penutur yang dwibahasa tidak lagi akan mengetahui bahasa mana bahasa kandung mereka. Dalam perkataan lain, sekiranya perkara tersebut berlaku, mungkin akan terdapat peralihan atau perubahan dalam corak kedominan bahasa- bahasa dan bahasa Melayu tidak akan terpelihara sebagai bahasa dominan lagi. Hipotesis ini dapat kita sokong dengan apa yang dapat kita perhatikan di kalangan penutur Melayu. Ramai juga penutur Melayu yang sudah merasa penguasaan bahasa kandungnya lemah kerana perkembangan bahasa itu semasa kecilnya ditekan dengan terjadinya pemakaian bahasa Inggeris yang berleluasan di dalam suasana keluarga.


FAKTOR-FAKTOR MEMBANTU PEMBELAJARAN BAHASA KEDUA

Selama ini kita hanya berbincang mengenai teori bagaimana bahasa kandung dikuasai oleh kanak-kanak dan bahasa kedua dipelajari oleh orang dewasa. Setelah melihat faktor-faktor sosial dan biologis yang membantu dan menghalang penguasaan dan pembelajaran bahasa, marilah kita cuba melihat kemungkinan kejayaan usaha mempelajari sesuatu bahasa kedua tersebut.

Dari penjelasan di atas, dapat dilihat bahawa ada beberapa unsur tertentu perlu wujud bagi menghasilkan pembelajaran bahasa kedua:

a. Motif
b. Keupayaan
c. Sikap
d. Peluang
e. Lingkungan

Dalam hal ini kita menganggap bahawa segala pelajaran yang dipakai untuk mengajar itu cukup baik dan gurunya terlatih. Pendek kata semua faktor lain sempurna. Dengan itu baharulah kita dapat melihat sama ada kejayaan pembelajaran itu dapat dicapai atau tidak.


Motif

Motif itu timbul dari tujuan kenapa seseorang itu ingin mempelajari bahasa kedua. Kalau ada tujuannya maka lahirlah motif yang mendorongnya. Di Malaysia ini boleh dikatakan semua pelajar mempunyai motif tinggi untuk belajar bahasa Melayu kerana ianya Bahasa Nasional dan juga menjadi keperluan untuk memegang jawatan dalam sektor kerajaan. Ia juga penting untuk pelajaran tinggi serta keperluan sosial yang tertentu. Jadi motif itu timbul dari tujuan untuk mencapai tujuan-tujuan ini. Demikian juga para pelajar dan orang-orang tertentu mempunyai motif untuk belajar bahasa Inggeris, untuk mendapat peluang pekerjaan dan melanjutkan pelajaran ke universiti di luar negeri. Itulah sebabnya mereka mendapat motif untuk mempelajari bahasa-bahasa tersebut. Motif itu juga mungkin terbit dari keinginan memelihara identiti dan budaya sesuatu kaum, seperti yang berlaku di kalangan masyarakat Cina yang mempelajari bahasa Mandarin.


Keupayaan

Mungkin pernah kita mendengar bahawa ada orang yang pandai bertutur banyak bahasa. Begitu juga sebaliknya, ada orang yang tidak berjaya mempelajari bahasa lain walaupun diberi pengajaran yang rapi. Ini bermakna ada orang yang mempunyai keupayaan dalam mempelajari bahasa dan ada orang yang tidak. Keupayaan ini berhubung rapat dengan kecerdasan otak seseorang itu. Ada orang yang telah dengan sendirinya mempunyai kecerdasan otak dan berkeupayaan tinggi dalam mempelajari bahasa dan ada yang tidak mampu. Walau bagaimanapun, seseorang itu berkeupayaan mempelajari bahasa apa pun. Tetapi peringkat kejayaannya tentulah berlainan. Selalunya, keupayaan ini semakin berkurangan apabila orang itu menjadi lebih lanjut umurnya, iaitu apabila ia telah melangkaui jangka masa yang subur untuk perkembangan bahasa tersebut secara semulajadi. Misalnya, kanak-kanak yang pindah dari satu masyarakat ke suatu masyarakat yang menuturkan suatu bahasa lain, akan dengan mudah dapat mempelajari bahasa yang baharu ditemuinya itu. Tetapi proses itu akan menjadi lebih sukar bagi orang yang sudah meningkat umurnya. Kanak-kanak akan lebih mudah mempelajari bahasa asing itu, tetapi kita boleh melihat dengan nyata bagaimana orang-orang dewasa gagal mempelajari bahasa. Ramai di antara penduduk Malaysia pada hari ini datang dari negara lain, seperti Cina dan India. Kebanyakan dari kaum pendatang ini masih belum lagi dapat menguasai bahasa Melayu di Malaysia. Mungkin salah satu dari sebabnya ialah kerana pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa kedua itu telah terhalang sebab mereka sudah kehilangan keupayaan. Pendek kata mereka hanya cuba mempelajarinya setelah dewasa.


Sikap

Selalunya motif dan keupayaan ini dibantu dengan sikap dalam mempelajari sesuatu bahasa itu. Mereka yang merasa bahawa sesuatu bahasa lain itu penting dan mereka mesti mempelajarinya akan mempunyai sikap yang sihat dalam mempelajari bahasa tersebut. Dalam sikap ini kita dapat melihat dari segi psikologi sama ada seseorang itu merasa bahawa pembelajaran bahasa itu akan mendatangkan faedah kepadanya, serta tidak mengancam kedudukan atau identitinya. Kita akan dapat melihat ada ramai di antara para pentadbir Inggeris di Tanah Melayu sebelum merdeka, yang tidak merasa perlu mempelajari bahasa Melayu. Sikap mereka mungkin tidak memandang yang bahasa Melayu itu memberi faedah, sementara itu ada pula golongan yang mungkin menentang, kerana memikirkan identiti mereka akan terancam dengan mempelajari bahasa lain yang akhirnya menyerap mereka ke dalam kebudayaan bahasa yang dipelajari itu.


Peluang

Kita mungkin mudah memahami hal peluang ini. Misalnya, ramai pelajar Melayu sekarang yang tinggal di sekolah-sekolah luar bandar yang mungkin tidak mempunyai peluang untuk belajar bahasa Inggeris. Kalau diajar bahasa Inggeris, selalunya peluang itu tidaklah sempurna. Lagipun suasana di sekelilingnya tidak menyokong pembelajaran di luar kelas. Mereka lulus dari sekolah tanpa pengetahuan bahasa Inggeris yang lengkap. Kalaulah mereka mendapat peluang untuk mempelajari bahasa Inggeris, mungkin mereka juga akan dapat menguasainya. Jadi peluang juga merupakan satu faktor penting dalam mempelajari bahasa. Kadang-kadang peluang ini mungkin tidak wujud disebabkan perbelanjaan yang mahal yang mungkin tidak mengizinkan orang itu belajar. Kadang- kadang ketiadaan guru, buku teks, masa dan peralatan yang sempurna akan menghalang pembelajaran bahasa tersebut. Jadi untuk menjayakan pembelajaran bahasa itu maka perlulah adanya peluang untuk belajar, baik dari dalam mahupun dari luar kelas.


Lingkungan

Lingkungan di mana pelajar itu tinggal, dalam bentuk masyarakat dan individu dan suasana politik tentu sekali akan dapat juga membantu pencapaian dalam mempelajari bahasa. Misalnya, masyarakat yang bersimpati tentu akan membantu mendorong seseorang itu belajar. Di Malaysia sekarang seluruh lingkungan di negara ini bersimpati, malah menggalakkan pembelajaran bahasa Melayu. Tetapi mungkin lingkungan keluarga akan menghalangnya. Kalau ada individu yang tidak bersimpati dengan pembelajaran bahasa Melayu, maka anak yang balik dari sekolah harus tidak dapat dorongan di dalam keluarga. Mungkin ini kadang-kadang berlaku dengan tidak disedari. Ibu bapa yang ingin anak-anaknya belajar bahasa Cina harus menyuruh anaknya belajar bahasa Cina pula di rumah dan dihalang mempelajari bahasa Melayu. Mungkin juga ibu bapa itu tidak fasih berbahasa Melayu dan suka pula memakai bahasa Inggeris atau bahasa lain. Dengan itu lingkungan keluarga seperti itu tidak boleh dianggap sebagai lingkungan yang dapat membantu dalam mempelajari bahasa Melayu. Jadi kanak-kanak itu tidak hidup dalam lingkungan yang sihat untuk belajar bahasa Melayu.


KEMUNGKINAN KEJAYAAN MEMPELAJARI BAHASA KEDUA

D.N. Larson dan W.A. Smalley (1972) membutirkan tujuh perkara yang dapat memberi sedikit penjelasan mengenai kemungkinan berhasilnya pembelajaran bahasa kedua itu.

1. Pelajar yang mempunyai keupayaan yang tinggi, serta diberi peluang yang baik dan mempunyai motif yang kukuh dan sikap yang sihat serta belajar dalam lingkungan masyarakat yang mendorong, maka usahanya dalam pembelajaran bahasa itu tentu sekali akan berjaya.

2. Seorang yang mempunyai motif tinggi dan diberi peluang baik, tetapi tidak mempunyai keupayaan yang tinggi terhadap pembelajaran bahasa, akan mencapai kejayaan yang baik juga, lebih-lebih lagi kalau masyarakat sekelilingnya itu mendorongnya.

3. Seorang yang mempunyai motif yang tinggi serta ada sikap dan keupayaan baik, tetapi kurang berpeluang, harus juga mencapai kejayaan yang agak baik kalaulah ada individu di sekelilingnya yang memberi sokongan kepada pembelajarannya itu.

4. Kalau seorang pelajar itu berpeluang baik untuk belajar bahasa dan mempunyai keupayaan tinggi, maka kejayaannya bergantung pada motifnya. Motifnya itu akan bergantung kepada lingkungan kebudayaan di sekelilingnya. Hanya mereka yang dapat mengatasi masalah ini yang berjaya.

5. Kalau seorang pelajar itu bermotif tetapi tidak mempunyai keupayaan, sikap dan peluang untuk belajar maka dia harus gagal. Kalaulah kebudayaan dan masyarakat sekelilingnya membantu maka ada juga sedikit harapan untuk mendapat sedikit kejayaan.

6. Kalau seorang pelajar itu mendapat peluang baik untuk belajar bahasa tetapi tidak mempunyai keupayaan dan motif, maka dia akan gagal. Peluang yang diberi kepadanya akan sia-sia. Kebudayaan yang menyokong pembelajaran itu juga akan membosankannya.

7. Pelajar yang berkeupayaan tinggi, tetapi tidak bermotif dan juga tidak diberi peluang akan gagal. Walau bagaimanapun lingkungan yang menyokong mungkin membantunya mencari motif, kalau tidak dia akan gagal.

Faktor-faktor ini perlulah wujud sebelum kejayaan sepenuhnya tercapai. Tetapi, sekiranya faktor-faktor ini tidak menyokong maka pelajar itu tentu akan gagal. Faktor-faktor yang wujud dengan tidak sepenuhnya harus menyebabkan pencapaian yang berbeza-beza.

PEMEROLEHAN BAHASA

Kita akan dapati kanak-kanak selalunya dapat memperolehi atau mempelajari bahasa secara berperingkat-peringkat dari masa ianya bayi. Apa yang penting ialah bahawa bayi itu belajar secara tidak formal, atau pembelajaran berlaku dengan secara tidak sedar dan tidak perlu diajarkan. Yang perlu hanya pendedahan kepada pemakaian bahasa itu dan kanak-kanak itu akan terus memperolehi sesuatu bahasa tersebut. Jadi para sarjana cuba mencari jawapan bagaimana ini boleh berlaku. Ada dua aliran yang mencuba menganalisa dan menerangkan fenomena ini. Ada sarjana yang berfikir bahawa bahasa itu serupa dengan lakuan lain dan lakuan ini dikuasai oleh kanak-kanak secara meniru segala lakuan pertuturan ibu bapanya. Kemudian terdapat pula sarjana yang memikirkan bahawa kanak-kanak memperolehi bahasa itu kerana ianya sudah terancang untuk berkembang dalam kanak-kanak tersebut dari segi biologis. Kanak-kanak yang terdedah pada bahasa akan dengan sendirinya mempunyai keupayaan untuk memperolehi bahasa. Teori pertama itu dipanggil teori behaviorisme dan yang kedua itu dipanggil teori biologis.

TEORI BEHAVIORISME

Salah satu dari bidang ilmu yang banyak mempengaruhi linguistik ialah psikologi. Mereka yang mengkaji mengenai teori behaviorisme ini ialah sarjana psikologi yang beranggapan bahawa pemerolehan sesuatu lakuan terjadi melalui ulangan sesuatu lakuan. Teori psikologi ini menyelidik lakuan-lakuan binatang. Eksperimen ini tidaklah dapat disebut satu persatu tetapi cukuplah bagi kita sekadar membincangkan teori behaviorisme ini yang bersangkutan dengan kegunaannya dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Walau bagaimanapun, teori behaviorisme ini tidaklah pula membuat tuntutan yang khusus mengenai bagaimana bahasa dikuasai. Mereka hanya menganggap bahawa kemahiran bertutur itu juga merupakan satu lakuan manusia, sama seperti lakuan lain. Jadi bagaimana lakuan lain itu dipelajari, maka begitulah juga lakuan bahasa dipelajari. Kajian mereka hanya ditumpukan kepada lakuan binatang. Kesimpulan dari kajian ini dianggap akan dapat diterima sebagai sah untuk sebarang lakuan manusia.

Watson

Dalam kurun ke-19, aliran kajian psikologi di Amerika mulai bergerak berpisah dari pemikiran tradisi sarjana- sarjana psikologi di Eropah. J.B. Watson, profesor psikologi di John Hopkins University telah membuat kajian dan menulis artikelnya: Psychology as the Behaviorist View (1913). Dia hanya mengkaji lakuan dan telah membezakan antara lakuan sedar dan yang tidak sedar. Dengan mengetepikan sesuatu yang subjektif maka dia telah dapat melakukan kajian terhadap lakuan sedar. Inilah sumbangannya yang terbesar, iaitu penolakannya terhadap pembezaan jasad dan fikiran, yakni ia mengetepikan apa yang berdasarkan agakan tanpa bukti yang dapat dilihat nyata. Inilah yang dipegang oleh ahli psikologi sebagai lakuan itu. Dengan itu semua ahli psikologi menumpukan perhatian kepada lakuan atau gerak-gerak yang dapat diperhatikan secara objektif. Mereka ini selalu mengkaji lakuan binatang dan mereka suka menjalankan analisa mengikut rangsangan dan tindakbalas, dan dengan memberi penegasan terhadap pembelajaran sebagai bidang tumpuan pengkajian mereka itu.

Guthrie

Di samping sarjana ini kita dapati pula E.R. Guthrie yang menjadi profesor psikologi di University of Washington. Dalam bukunya The Psychology of Learning (1935), dia memberi perhatian terhadap pendapat berikut, bahawa pembelajaran itu berlaku dengan adanya rangsangan yang diikuti dengan tindakbalas. Dengan kata lain apa yang dimaksudkan olehnya ialah kalau sesuatu lakuan itu terjadi dalam satu keadaan tertentu, maka semasa kita berada dalam keadaan itu pada masa yang lain, tentulah kita akan membuat lakuan yang sama. Apabila terjadi rangsangan dan tindakbalas secara berulangan maka terhasillah pembelajaran. Ternyata bahawa kenyataan seperti ini mempunyai kekurangan dari segi pembelajaran. Katakanlah seorang itu disuruh mengisi teka silang kata. Dia akan mengisi kata-kata dalam teka silang itu dan akan menyelesaikan masalah itu kalau ianya mudah. Tetapi kalau teka silang itu sukar dan dia tidak dapat membuatnya, maka dia akan meninggalkannya setelah bosan. Pada satu masa lain, dia diberi teka silang kata yang sukar juga tidak dapat dibuatnya dan oleh itu terus ditinggalkannya. Dalam hal ini dapatkah kita mengatakan dia sudah mempelajari sesuatu? Pada hal dia tidak menyelesaikan teka silang kata itu dan ternyata dia tidak mempelajari sesuatu apa pun. Menurut teori behaviorisme, kalau dia memberi tindakbalas yang sama, maka berlakulah pembelajaran. Dalam hal ini ternyata tidak terjadi proses pembelajaran yang dikatakan tersebut.

Skinner

Dalam teori pembelajaran melalui teori lakuan ini, nama ahli psikologi yang masyhur sekali ialah B.F. Skinner. Skinner merupakan seorang sarjana teori behaviorisme dan mengajar di Harvard University. Skinner telah mengkaji dan memperbaiki teori behaviorisme itu. Mengikutnya pembelajaran itu berlaku kalau ada rangsangan dan tindakbalas yang berulangan. Dalam hal ini, beliau membuat eksperimen dengan menggunakan binatang, salah satu darinya ialah dengan menggunakan merpati. Merpati itu dikurung dalam kotak. Di dinding kotak itu ada swis. Apabila swis itu dipatuk terbukalah satu lubang untuk memberi makanan. Ini telah ditafsirkan oleh seorang sarjana psikologi sebagai keadaan yang dapat dipadankan dengan pembelajaran lakuan di kalangan binatang, termasuk manusia. Apabila merpati itu lapar dan mematuk swis itu, maka timbullah rangsangan dan diberi balasan dengan makanan. Ini tidak jauh berbeza dari yang disebut oleh Watson dan Guthrie, tetapi apa yang berbeza ialah tentang konsep pengukuhan. Pengukuhan ini dianggap oleh Skinner sebagai asas dalam proses pembelajaran. Pengukuhan berlaku apabila lakuan itu diberi balasan dengan hadiah. Keinginan mendapat balasan hadiah ini menimbulkan keinginan supaya berbuat demikian untuk mendapatkan hadiah yang sama. Oleh sebab itu lakuan itu akan diulang. Pengulangan yang kerap dilakukan akan mengukuhkan proses pembelajaran. Dengan itu terjadilah pembelajaran.

Berdasarkan pengkajiannya, Skinner telah dapat membezakan dua jenis pembelajaran yang berlainan kerana ada dua jenis lakuan tindakbalas. Pertama ialah lakuan automatis yang tetap. Contoh lakuan automatis yang paling mudah ialah lutut akan terangkat apabila diketuk oleh doktor. Itu merupakan satu lakuan yang ada rangsangan (ketuk) dan ada tindakbalas (kaki terangkat). Lakuan seperti ini dianggap sebagai tindakbalas automatis dan berlaku secara tidak sedar dan ianya tetap. Kedua ialah lakuan operan. Bagi beliau kebanyakan lakuan yang kita lakukan ialah sejenis operan. Lakuan automatis ini akan hanya berlaku sekiranya ada rangsangan tetapi lakuan operan akan berlaku dalam sesuatu lingkungan atau keadaan. Dengan kata lain, rangsangannya tidak semestinya menerbitkan tindakbalas tertentu yang tetap, seperti berjalan, bercakap dan lain-lain. Misalnya, lakuan menyuap makanan bukan sahaja kerana rangsangan itu melibatkan makanan, tetapi juga kerana rasa lapar, lingkungan sosial dan beberapa lingkungan atau suasana yang berlainan. Proses ini perlulah diambil kira. Belajar melalui lakuan operan itu ialah yang dikatakan pembelajaran menurut syarat. Syarat itu timbul dari lingkungan yang menjadi rangsangan yang mendorong lakuan tersebut. Ini jelas berbeza dari lakuan sebagai tindakbalas otot secara automatis.

Dalam bukunya Verbal Behavior (1957) Skinner telah membincangkan lebih lanjut tentang proses pembelajaran dengan menggunakan unsur rangsangan, tindakbalas dan segala syarat dan pengukuhan yang terlibat dalam menghasilkan pembelajaran secara maksimum. Dengan adanya pendapat ahli psikologi ini, maka ianya dapat menjelaskan kekaburan dari segi teori dalam sistem pembelajaran bahasa dalam abad ke-20 ini. Jadi teori behaviorisme ini melengkapkan apa yang diperlukan oleh para pendidik. Dengan itu lahirlah pendapat yang mengatakan bahasa itu adalah suatu lakuan dan boleh dipelajari melalui syarat-syarat tertentu, samalah dengan binatang mempelajari lakuan tertentu (G.A. Kelly, 1969). Sejak Skinner, ramai lagi ahli psikologi yang mengkaji bagaimana pembelajaran berlaku. Ada di antara mereka yang mengkaji bagaimana kanak-kanak menguasai bahasa dan apa implikasinya terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa.

KRITIKAN TERHADAP TEORI BEHAVIORISME

Banyak lagi usaha lain yang memperbaiki konsep Skinner dalam usaha mencari jawapan bagaimana bahasa dipelajari dan ini ternyata mempunyai implikasi terhadap prinsip dan kaedah PPpengajaran dan pembelajaran bahasa. Chomsky (1967) dengan keras mengkritik Skinner. Sebenarnya sejak Skinner, memang ramai ahli psikologi lain yang melanjutkan kajian dalam bidang ini sehingga menimbulkan golongan neobehaviorisme, iaitu yang sudah mula bergerak meninggalkan teori behaviorisme.

Dalam kritiknya itu, Chomsky menyatakan bahawa teori behaviorisme itu hanya sebuah dongeng. Baginya, behaviorisme tidak memberi tempat yang sewajarnya pada akal atau otak manusia. Behaviorisme tidak mengindahkan tentang daya pemikiran manusia dalam menguasai bahasa. Beliau menegaskan tentang pentingnya faktor lingkungan kebudayaan dalam penguasaan bahasa itu. Ianya tidak dapat berlaku dalam keadaan yang kosong dari segi sosiobudaya. Mungkin kalau diketahui dengan jelas bagaimana cara kanak-kanak menguasai bahasa, maka ianya mungkin lebih bermanfaat kepada pengajaran dan pembelajaran bahasa. Ini ternyata lebih memberi untung dari kajian bagaimana lakuan terbentuk di kalangan binatang.

Dalam mengkaji bagaimana kanak-kanak menguasai bahasa, maka tidaklah dapat dinafikan kanak-kanak banyak menguasai lakuan lisan atau bukan lisan melalui pemerhatian biasa dan meniru-niru lakuan orang dewasa dan kanak-kanak lain. Kanak-kanak tidaklah belajar melalui sesuatu perancangan bahasa yang rapi dari ibu bapa.

Pada peringkat majunya kanak-kanak itu pandai mengeluarkan ayat-ayat yang belum pernah didengarnya dahulu, atau memahami ayat-ayat tersebut. Kebolehan ini menunjukkan ada proses penting yang tak bersangkut paut dengan maklumat balik dari lingkungan bahasa. Penguasaan yang dikatakan berlaku mengikut pembentukan lakuan lisan melalui pengukuhan itu sama sekali ditolaknya. Menurutnya proses penguasaan bahasa itu jelas menunjukkan bahawa pengukuhan, pemerhatian biasa dan sifat semulajadi yang ingin tahu, bergabung dengan sifat mahu meniru merupakan faktor penting, memberi kemungkinan untuk kanak-kanak membuat generalisasi, hipotesis dan memproses maklumat dalam suatu cara istimewa dan amat kompleks. Semuanya ini sukar diperikan. Ia mungkin terpendam dan mula berkembang menurut kematangan sistem saraf bayi itu. Pendapat ini banyak memberi pengaruh terhadap cara pengajaran dan pembelajaran bahasa, tetapi pengaruh sepenuhnya belum begitu ketara pada masa ini.

TEORI BIOLOGIS

Chomsky dan rakan-rakan yang sealiran dengannya telah menumpukan banyak perhatian kepada unsur yang terpendam dalam manusia dan bukannya terhadap sesuatu lakuan yang dapat dilihat sahaja. Mereka beranggapan bahawa manusia sejak lahirnya sudah mempunyai kebolehan untuk memperolehi sistem perhubungan yang dipakai oleh manusia, iaitu bahasa. Kebolehan ini dipanggil Jentera Penguasaan Bahasa (Chomsky 1965). Kanak-kanak yang terdedah kepada sesuatu bahasa itu mempunyai keupayaan yang semulajadi untuk merumus dan membentuk hukum nahu bahasa tersebut. Ini bermakna, kalau tidak ada pendedahan, maka penguasaan bahasa juga tidak akan berlaku. Misalnya ada ceritanya tidak dapat bercakap apabila dijumpai. Jadi kanak-kanak tidak akan memperolehi bahasa sekiranya ia dipisahkan dari masyarakat manusia, sebab Jentera Penguasaan Bahasa itu tidak mendapat sebarang bahan untuk diproses. Mereka juga telah mendapati bahawa ada satu jangka masa yang subur untuk bahasa berkembang dan sekiranya masa ini terlangkau, maka pemerolehan bahasa juga akan terhalang.

Jadual Pemerolehan Bahasa

Salah satu dari teori E.H. Lenneberg (1967) mengenai pemerolehan bahasa ialah bahawa semua kanak-kanak yang sihat dan normal mulai bercakap dan bertutur pada peringkat umur yang agak sama. Ini menyokong bahawa kebolehan untuk berbahasa itu berkembang telah sedia ada terjadual secara biologis. Pembentukan pertuturan dan perkembangan bahasa membuktikan adanya sesuatu yang sudah terjadual dari segi biologi. Nampaknya apabila sudah sampai masanya maka seseorang anak itu akan dengan serta merta menjadi tertarik terhadap segala bunyi yang didengarnya dan dia dapat menajamkan pancainderanya. Dengan itu dia mula mengerti dan memilih bunyi yang penting dan mengetepikan segala yang lain, seperti yang diperhatikan oleh Lenneberg.

Kajian Lenneberg telah mengatakan bahawa pemerolehan bahasa ini bergantung kepada suatu jadual biologi dan bukan terbit dari rangsangan yang datang dari lingkungan. Misalnya anak yang lahir dari ibu bapa yang pekak dan bisu tentu sekali tidak mempunyai lingkungan bahasa, tetapi mereka juga akan mula belajar bertutur pada peringkat umur yang sama dengan kanak-kanak lain dan perkembangannya dapat dijangka seolah-olah telah terjadual. Jadi apakah maksud bahasa itu suatu fenomena biologi? Ini membawa dua implikasi yang pertama ialah bahawa kanak-kanak itu tidaklah bergantung kepada ibu bapanya untuk mengajarnya sesuatu bahasa. Kanak- kanak mempunyai keupayaan merumus dengan sendiri dan kita tidak akan dapat mengajarnya, walaupun sekiranya kita mahu berbuat begitu. Implikasi yang kedua ialah perkembangan bahasa ini hanya terbatas kepada hubungan dengan jenis makhluk yang dikenali sebagai manusia sahaja. Manusia melahirkan bayi dengan keadaan yang tidak berupaya, yakni ia terpaksa dijaga dan disusui. Tetapi anak binatang boleh terus makan sendiri dan berlari setelah beberapa saat sahaja ia dilahirkan. Otak manusia memakan masa yang panjang untuk membesar, dan hal ini dapat memberi keupayaan untuk bahasa tumbuh dan berkembang. Mungkin itulah sebabnya bahasa boleh berkembang. Sebaliknya anak binatang hanya membesar dari segi jasad sahaja dan tidak dari kebolehan lain. Dia sudah lengkap sejak lahir.

Daya Kefahaman Lebih Asas dari Bertutur

Lenneberg telah membezakan antara kemahiran memahami dan bertutur. Dia mengatakan kebolehan memahami bukan hanya wujud sebelum kebolehan bertutur tetapi sebenarnya ia lebih dasar dan mudah. Dia menunjukkan yang dalam peringkat awal kanak-kanak dapat mengenali dan terus membezakan pola-pola pertuturan yang berlainan. Misalnya kebolehan kognitif di kalangan kanak-kanak pekak yang tidak terdedah pada bahasa pendengaran itu adalah sama pantas dengan kanak-kanak biasa. Ini menunjukkan kebolehan itu telah wujud. Kehilangan salah satu dari pancaindera, tidaklah mencatatkan kebolehan asas berbahasa itu.

Dari yang Umum Menuju yang Khusus

Kanak-kanak mula memberi nama kepada barang-barang pada sesuatu peringkat yang tertentu dalam perkembangan bahasa. Ianya merupakan kemuncak proses-proses yang dilalui dengan perlahan semasa umurnya meningkat lapan belas bulan apabila kanak-kanak itu mula mengetahui nama-nama barang. Di antara dua puluh empat hingga tiga puluh bulan kanak-kanak tadi melalui proses memberi nama kepada barang-barang. Semasa dia mencapai umur lebih kurang tiga puluh bulan kanak-kanak tadi akan mempunyai perbendaharaan kata lebih kurang 100 perkataan dan mempunyai kemungkinan untuk memahami antara 2,000 sampai 3,000 perkataan lain. Sebenarnya, ianya belumlah lagi tahu menggunakan perkataan-perkataan tersebut. Proses menamakan barang-barang itu merupakan satu dari aktiviti luar biasa yang menunjukkan adanya perkembangan bahasa. Tetapi proses ini amat kurang difahami pada masa ini. Apa yang kita tahu hanyalah ia terjadi pada peringkat umur yang sama di kalangan kanak-kanak. Faktor yang bertanggungjawab terhadap perkembangan ini dan perjalanan sistem saraf yang menjadi dasar kejadian itu, tidaklah diketahui dan mungkin akan memakan masa yang panjang sebelum ianya diketahui dengan jelas. Walau bagaimanapun dapat kita perhatikan bahawa ada arah tertentu dalam hal ini, iaitu kanak-kanak sentiasa menamakan barang-barang dari yang umum kepada yang tertentu dan khusus. Misalnya kanak-kanak mungkin mula-mula memanggil segala makanan dengan `mamam' dan kemudiannya menjadi lebih khusus dan membezakannya kepada `susu', `nasi', `lauk', `kuih' dan sebagainya. Mereka mempelajari benda-benda sebagai satu golongan dahulu dan kemudian baharu ia mengetahui anggota-anggota atau bahagian golongan itu.


PERINGKAT PENGUASAAN BAHASA

Masalah memahami perkembangan penguasaan bahasa melibatkan perkara-perkara yang lebih abstrak dan rumit. Pada hakikatnya, inilah yang kita maksudkan dengan bahasa sebagai suatu fenomena perkembangan biologi. Hal ini menolak peranan lingkungan sahaja dalam perkembangan bahasa. Kita dapat melihat bahawa kanak-kanak tidaklah mempelajari bahasa dengan meniru-niru percakapan ibu bapa. Pertuturan kanak- kanak itu sebenar-benarnya keluar dari daya ciptaan mereka sendiri. Rangkaikata-rangkaikata seperti, `abah gi', `dah bis' dan lain-lain merupakan gabungan-gabungan pertuturan yang dibuat oleh kanak-kanak itu sendiri dan bukanlah merupakan pertuturan yang mereka dengar dan tiru dari ibu bapa. Apa yang selalu diperhatikan berlaku ialah sebaliknya, iaitu ibu bapa yang selalunya meniru-niru kanak-kanak itu. Kita bukanlah guru mereka dan kita tidak pernah bersikap hendak mengajar nahu dan pola bahasa kepada anak-anak kita.

Pemerolehan Bahasa Melalui Pendedahan

Kanak-kanak tidak akan dapat memperolehi sesuatu bahasa melainkan kalau mereka mendengarnya dan fungsi kita hanya bercakap, lebih banyak lebih baik. Selain dari itu, fungsi sokongan moral juga amat kecil sebab biologi kuat memainkan peranannya. Biologi mengambilalih tugas selanjutnya samalah seperti organ-organ tubuhnya menghadamkan makanan selepas makan. Semuanya berlaku sebagai sesuatu yang sudah sedia terbina. Anak tersebut memerlukan bahasa untuk hidup sama seperti ianya memerlukan makanan. Maklumat yang diterimanya dari pertuturan kita dapat dianggap sebagai bahan mentah yang masuk melalui saluran pendengarannya terus ke pusat sistem saraf dan dianalisa kepada unsurnya dan kemudian dibina kembali sebagai suatu kemahiran bahasa yang amat kompleks. Bagaimana proses ini berlaku? Kita masih jahil dalam bidang ini dan kita hanya boleh mengagak sahaja. Bayi manusia dilahirkan dengan tidak berupaya dan terpaksa membesar. Berat otak bayi manusia semasa dilahirkan hanya lebih kurang 25% daripada otak orang dewasa. Ini membolehkan proses tumbesaran kematangan otak berlaku dalam satu jangkamasa yang panjang selepas lahir. Oleh sebab sistem araf berkembang maka proses perkembangan bahasa boleh berlaku.

Jadual Pemerolehan Mengikut Umur

Menurut Lenneberg (1967) perkembangan pemerolehan bahasa di kalangan kanak-kanak melalui lapan peringkat:

1. Semasa berumur tiga bulan, kanak-kanak hanya dapat mengangkat kepada meniarap. Dia meletakkan semua berat badannya pada sikunya. Kanak-kanak kurang menangis pada masa ini dan dia boleh mengeluarkan bunyi seakan-akan bunyi vokal yang kadang-kadang berpanjangan antara lima belas sampai dua puluh saat.

2. Semasa berumur empat bulan, kepala kanak-kanak itu mula kukuh dan tegap dan kanak-kanak mula menggemari barang- barang permainan. Tindakbalas kepada suara manusia lebih tajam, matanya mencari si penutur kadang-kadang kanak-kanak itu akan ketawa.

3. Pada masa berumur lima bulan, kanak-kanak tersebut boleh duduk tegap. Dia mula menyebut bunyi konsonan di antara bunyi vokal tersebut. Tetapi dari segi akustik bunyi-bunyi itu berbeza dari bunyi bahasa.

4. Semasa kanak-kanak yang berumur enam bulan ia mula boleh bertupang tangan semasa duduk. Kebolehan mengagah bertukar kepada pengeluaran bunyi-bunyi yang berciri sukukata seperti ma, mam, da, dak, di, dan dik dan lain-lain.

5. Pada masa berumur lapan bulan kanak-kanak mula boleh berdiri sambil berpegang kepada dinding. Pengulangan bunyi- bunyi menjadi lebih kerap dan pola lagu menjadi lebih nyata dan pertuturan mula digunakan untuk menyatakan kemahuan dan perasaan.

6. Semasa berumur sepuluh bulan kanak-kanak itu mulai merangkak dan kadang-kadang berdiri tegak. Kanak-kanak mula mengeluarkan berbagai-bagai bunyi dan mula meniru bunyi dan membezakan bunyi yang berlainan yang didengarnya.

7. Semasa berumur dua belas bulan kanak-kanak mulai belajar berjalan-jalan dan bunyi yang serupa dengan bunyi bahasa mula diterbitkan dan perkataan seperti mak, abah, mamam, mula disebut. Pada masa ini juga kanak-kanak tersebut mulai memahami arahan.

8. Semasa berumur lapan belas bulan kanak-kanak tersebut mulai berjalan. Dia sudah mempunyai antara tiga hingga lima puluh perkataan. Kefahamannya bertambah baik dan dia mula menggabungkan dua perkataan untuk menjadi rangkaikata. Semasa umurnya meningkat dua tahun pola-pola ayatnya mula menjadi lengkap dan dia dapat merumuskannya dengan bersendirian. Proses ini berterusan hingga umurnya menjadi baligh apabila bahasanya menjadi sempurna.

Kekenyalan Berakhir

Masa tamat peringkat kesuburan untuk belajar bertutur ini mungkin juga mempunyai sesuatu kepentingan dalam perkembangan bahasa tersebut. Alam mesti mengadakan perimbangan di antara kekenyalan sistem saraf bagi memungkinkan dia belajar. Selepas itu sistem itu menjadi mantap. Oleh sebab itu perlulah diberi masa yang agak sesuai untuk bahasa berkembang dan proses itu harus berhenti setelah mencapai peringkat yang sempurna. Selalunya ia berlaku setelah ia menjadi baligh dan mula memainkan peranannya dalam masyarakat secara aktif. Pembakuan itu menjadi perlu supaya bahasa yang dituturkan itu berdasarkan suatu sistem sahaja yang dapat difahami oleh semua anggota masyarakat itu. Kalau ia terus berkembang, maka haruslah ia menjadi sukar untuk difahami oleh kebanyakan anggota masyarakat yang ramai itu.

Sebagaimana yang kita tunjukkan tadi pemerolehan bahasa bermula semasa kanak-kanak berumur dua tahun, iaitu semasa otaknya tumbuh menjadi 60% dari otak orang dewasa. Masa ini juga merupakan masa progres yang rapi berlaku untuk berjalan dan kemahiran-kemahiran motor yang lain, iaitu suatu ciri yang penting berhubung dengan kemahiran-kemahiran lain dan kemahiran bahasa. Di antara perkara yang penting dalam perkembangan otak melibatkan pembesaran bahagian kiri hemisfera otak waktu anak itu berumur sepuluh tahun. Sebabnya yang sah tidaklah diketahui. Tetapi salah satu daripada kepentingannya ialah untuk membolehkan kemahiran bertutur itu menjadi matang.

Dapat kita perhatikan bahawa ada satu ciri yang selalu berlaku dalam perkembangan bahasa. Selalunya bayi menunjukkan yang mereka faham setengah perkataan dan arahan- arahan semenjak mereka berumur dua belas bulan lagi walaupun mereka tidak dapat mengeluarkan sepatah perkataan pun. Kita dapat memperhatikan bahawa proses memahami dalam sesuatu bahasa itu mendahului proses bertutur. Dalam suatu kajian terhadap seorang kanak-kanak yang sakit otak kerana jangkitan semasa dalam kandungan, menunjukkan yang dia tidak dapat bertutur dengan baik. Walau bagaimanapun, dalam ujian-ujian yang dijalankan, dia dapat memahami perintah seperti `Ambil kotak itu!' dan `Masukkan ke dalam botol', dan di samping itu dia boleh menjawab soalan mengenai cerita-cerita yang didengarnya. Ini menjelaskan prinsip penting bahawa kemahiran memahami itu mendahului kemahiran bertutur. Bukan itu sahaja, bahkan ia lebih mudah dan lebih dasar. Dengan lain perkataan, ada sesuatu yang istimewa dalam pertuturan yang dapat kita fahamkan sebagai pengetahuan berkenaan dengan sesuatu bahasa, yang mungkin sudah wujud semasa awal dalam kehidupan kanak-kanak lagi. Dari sini dapatlah disimpulkan bahawa proses bermula semasa kanak-kanak itu berumur dua tahun dan berakhir lebih kurang semasa ia berumur dua belas tahun.

Setelah mencapai peringkat itu maka, bahasa kanak-kanak itu dianggap sudah lengkap dalam serba serbinya. Memang betul bahawa kanak-kanak, bahkan orang dewasa sendiri masih terus belajar. Tetapi apa yang mereka pelajari itu hanya merupakan gaya, atau peluasan dari segi pemakaian, atau sesuatu makna yang baharu sahaja. Sebenarnya, dari segi nahunya, bahasa itu sudah cukup lengkap, tetapi pemerolehan lain akan terus berlaku.

Friday, February 27, 2009

Bagaimana Kanak-Kanak Melayu Mempelajari Pragmatik

Zuraini binti Ramli
Jabatan Bahasa Melayu
Fakulti Bahasa
Universiti Pendidikan Sultan Idris

1.0 Pendahuluan

Seseorang bayi dari saat kelahirannya telah mula berhubung dengan orang-orang dalam persekitarannya melalui tangisan. Tangisan menjadi satu cara untuk memberitahu keperluannya, seperti lapar, mengantuk atau sakit. Sungguhpun demikian, tangisan belum boleh dikatakan sebagai bahasa kerana bentuk tersebut tidak mempunyai pola teratur yang secara berulang-ulang dapat menyampaikan fikiran dan perasaan dengan tepat. Apabila bunyi-bunyi yang dikeluarkan oleh alat artikulasi manusia disusun mengikut hukum-hukum yang ada dalam sesuatu bahasa, barulah pengguna bahasa dapat berkomunikasi sesama mereka.

Menurut Piaget (1926), ‘…human cognitive development is achieved through maturational stages, with our thought processes and patterns changing systematically as we age’. Beliau melihat perkembangan bahasa kanak-kanak dalam dua jenis, iaitu :

i) Bahasa yang bertumpu pada diri sendiri yang disebut bahasa egosentrik (egocentric language).
ii) Bahasa yang ditujukan kepada orang lain yang disebut bahasa perhubungan (socialized language).

Bahasa jenis pertama, iaitu bahasa yang bertumpu pada diri sendiri merupakan situasi berbahasa kanak-kanak yang sama sekali tidak mempedulikan orang di sekitarnya atau pada orang yang mendengarnya. Dia bercakap dengan dirinya sendiri dan tentang dirinya sendiri. Kanak-kanak juga kadangkala menghubungkan sesiapa sahaja yang berdekatan dengannya dengan perkara yang sedang dilakukannya itu, tetapi orang berkenaan hanya menjadi penonton sahaja.

Bahasa egosentrik dilahirkan dengan tiga cara, iaitu pengulangan, monolog dan monolog tumpuan. Bahasa egosentrik jenis pengulangan merupakan percakapan kanak-kanak yang diulang secara terus menerus, sama ada pada peringkat kata atau suku kata. Contohnya,

Kakak nak mandi, man man di.
Kakak nak mandi, man man di.

Pengulangan tersebut dibuat untuk tujuan keseronokan dan tidak bermaksud apa-apa.

Bahasa egosentrik jenis monolog pula ialah percakapan kanak-kanak yang seolah-olah menggambarkan kepada kita bahawa dia sedang berfikir, dan fikiran itu dilahirkan dalam bentuk bunyi dan kemudian dalam bentuk kata. Manakala jenis monolog tumpuan dapat dilihat apabila kanak-kanak bercakap seorang diri, dan dia menghubungkan butir percakapannya dengan orang yang ada berhampiran dengannya.

Jenis perkembangan bahasa yang kedua pula ialah bahasa perhubungan. Dalam jenis tersebut, kanak-kanak bertukar fikiran dengan orang lain dengan berbagai-bagai cara, seperti bercerita, bertengkar, mengulas, dan bertanya. Dalam situasi ini, kanak-kanak telah mula berkeupayaan untuk memberi fokus kepada pelbagai aspek dalam pelbagai situasi. Justeru, mereka telah mula berfikir tentang menjalinkan perhubungan dengan orang lain, dengan cara menghasilkan pelbagai bentuk komunikasi dengan audiens yang berbeza (Piaget, 1926).


2.0 Catatan Ringkas Tentang Bagaimana Kanak-Kanak Melayu Mempelajari Pragmatik

Jika dilihat tahap-tahap pemerolehan bahasa kanak-kanak, beberapa pandangan telah dikemukakan oleh beberapa pengkaji yang berbeza. Umumnya, peringkat pemerolehan bahasa kanak-kanak hampir sama. Kebanyakan pengkaji menghubungkan tahap pemerolehan bahasa dengan melihat perkembangan usia dengan pergerakan deria motor kanak-kanak. Mangantar Simanjuntak (1987, 188-239) membahagikan peringkat pemerolehan bahasa kepada beberapa tahap, iaitu tahap membabel atau mengagah, tahap holofrasa, tahap ucapan dua kata, tahap permulaan tatabahasa, tahap menjelang tatabahasa penuh dan akhirnya, tahap kecekapan penuh. Menurut Kess, J. F. (1976: 58) pula, tahap pemerolehan bahasa kanak-kanak dilihat mengikut usia. Pemerolehan bahasa melibatkan pemerolehan pelbagai aspek dalam bahasa, antaranya fonologi, sintaksis, semantik dan pragmatik. Kanak-kanak bermula dengan sesuatu yang lebih umum dan kategori yang tidak dikenal pasti, seterusnya persepsi dan klasifikasi mereka berkembang dan berubah mengikut masa.

Kanak-kanak mula berinteraksi dengan orang di sekelilingnya semenjak mereka dilahirkan lagi. Walau bagaimanapun, hanya pada usia dua tahun dan ke atas, kebanyakan kanak-kanak mula boleh bertutur dalam bentuk ayat. Tahap in merupakan tahap pemerolehan sintaksis. Dalam tahap tersebut, kanak-kanak dilihat sudah mula mempelajari pragmatik dalam perbualan mereka. Mereka mula memahami konteks dalam perbualan, melalui pelbagai teknik berinteraksi, seperti teknik bercerita, bertengkar dan berbahas, bekerjasama, menyatakan keinginan, mengkritik, memerintah atau meminta, bertanya, mengulas, melarang, dan mengajak. Berikut dihuraikan bagaimana kanak-kanak Melayu mempelajari aspek pragmatik dalam interaksinya dengan orang di sekeliling. Data yang dipaparkan merupakan data yang diperoleh daripada pemerhatian terhadap kanak-kanak perempuan Melayu bernama Ainin Sofiya (singkatannya Sofiya atau Nin), ketika berusia antara 1 hingga 3 tahun.





2.1 Bercerita

Melalui teknik bercerita, Sofiya memberitahu sesuatu kepada pendengarnya yang boleh menarik minat pendengar tersebut. Kebiasaannya, dia bercerita tentang pengalamannya, sama ada yang pernah berlaku pada dirinya ataupun yang berbentuk imaginasi. Ketika bercerita berkaitan pengalamannya, Sofiya selalunya bercerita tentang dirinya dan orang-orang yang berada di sekitarnya, khususnya keluarga terdekat atau rakan-rakan di taska. Contohnya:

1) Danish ada rambut botak. Rambut ayah dia pun botak jugak.
2) Kakak rajin, kakak dah sidai tuala kakak dengan tuala adik.

Perkataan pun dan rajin bukan sahaja bertujuan memberi penegasan, tetapi juga untuk menarik perhatian pendengar. Sebagaimana yang dinyatakan sebelumnya, penceritaan juga dibuat berdasarkan khayalan atau imaginasi kanak-kanak. Selalunya, Sofiya berimaginasi tentang perkara-perkara tertentu yang pernah dilihatnya pada orang-orang di sekitarnya yang lebih dewasa atau berdasarkan gambar atau cerita yang pernah dilihat atau ditonton. Kadangkala imaginasi terhasil akibat keinginannya terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh:

3) Nanti kakak nak jadi pengantin macam Mak Busu, cantik.
4) Nanti kakak nak bilik kakak macam ni, ada bantal Barney (sambil menunjuk gambar dalam majalah).


2.2 Bertengkar dan Berbahas

Dalam teknik bertengkar dan berbahas, Sofiya cenderung untuk mempertahankan pendapat atau kepercayaannya, sama ada dengan rakan-rakan atau orang lain yang lebih dewasa. Kadangkala, dalam situasi pertengkaran dan perbahasan itu, dia merujuk pandangan orang lain untuk mendapatkan pengesahan.

5) Opah: Pandai cucu Opah, nanti dapat nombor satu.
Sofiya: Bukan cucu Opah, kakak cucu atok, kan bu?

6) Opah: Kakak pakai baju Opah ya?
Sofiya: Mana ada. Ini baju kakak. Opah besar.


2.3 Bekerjasama

Melalui teknik bekerjasama, Sofiya mengajak kanak-kanak lain untuk melakukan sesuatu, seperti bermain, melukis, dan membaca buku. Sebagai contoh:


7) Sofiya: Syafiq, jom kita main boling.
Syafiq: Sofiya duduk kat situ, Syafiq susun bola.

Selain itu, Sofiya juga adakalanya menunjukkan keinginan bekerjasama dengan orang dewasa, seperti ketika memasak lauk dan membeli belah. Contoh perbualan di bawah diambil ketika Sofiya melihat ibunya menumbuk bawang di dapur.

8) Sofiya: Biar kakak masukkan bawang putih.


2.4 Menyatakan Keinginan

Keinginan merupakan naluri yang telah ada dalam diri manusia semenjak mereka dilahirkan. Berbahasa menjadi salah satu medium untuk menyatakan keinginan tersebut. Justeru, pernyataan keinginan merupakan bentuk bahasa yang paling awal dikuasai oleh kanak-kanak. Dalam kes Sofiya, dia boleh menyebut perkataan mama dan ayah pada peringkat yang lebih awal. Dia juga boleh menyebut perkataan-perkataan yang berkaitan dengan perbuatan asas dalam kehidupan. Kebanyakan perkataan tersebut berbentuk kata kerja seperti makan, minum, dan mandi, yang dikeluarkan dalam bentuk satu suku kata. Selalunya, dia mengharapkan tindak balas daripada orang yang mendengar, sama ada tindak balas dalam bentuk bahasa ataupun perbuatan. Contohnya:

9) Nak nen/tek (susu).

10) Nak andi (mandi).


2.5 Mengkritik

Menjadi kebiasaan kepada Sofiya untuk mengkritik atau menegur perbuatan atau kelakuan orang lain yang dirasakannya tidak betul. Cara ini membolehkannya menimbulkan gerak balas sama ada secara positif atau negatif kepada orang lain. Misalnya:

11) Sofiya: Ayah nyanyi salah, bukan macam tu!

Dalam contoh (11), kritikan ditujukan terus kepada orang yang menjadi sasarannya. Ada juga situasi yang kritikan dinyatakan secara tidak langsung, iaitu diujarkan kepada orang lain. Contohnya:

12) Sofiya: Ibu, ayah nyanyi macam tu bu. Lagu kakak lain.





2.6 Memerintah atau Meminta

Jika dilihat bahasa yang digunakan dalam interaksi kanak-kanak, teknik memerintah dan meminta merupakan teknik yang paling kerap digunakan, terutama antara umur dua hingga lima tahun. Memerintah atau meminta boleh dianggap sebagai kesinambungan daripada teknik menyatakan keinginan, kerana ia merupakan peringkat perkembangan yang agak tinggi dan bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak. Ketika berusia kurang daripada 3 tahun, ayat yang diujarkan merupakan ayat perintah kerana Sofiya masih belum menguasai kata-kata silaan dan permintaan. Contohnya:

13) Sofiya: Ayah, pasang kipas!

14) Sofiya: Ibu, buat Milo kakak!

Penggunaan kata silaan dan permintaan boleh menghaluskan suasana permintaan tersebut Pada usia 3 tahun, Sofiya sudah mampu menggunakan perkataan tolong, dan ayat yang diujarkan juga lebih panjang. Ini menunjukkan bahawa dia sudah menguasai dan memahami aspek pragmatik dengan lebih baik. Contohnya:

15) Sofiya: Ibu, tolong kakak warnakan ni.

16) Sofiya: Ibu, kakak penat, tolong dukung kakak.

Adakalanya, ayat perintah atau permintaan dihasilkan dalam bentuk ayat penyata. Sebagai contoh:

17) Sofiya: Ibu, kakak nak pakai lipstick.

Jika ayat tersebut disanggah, kanak-kanak akan mengulangi pernyataan tersebut dengan lebih bersungguh-sungguh. Jelas bahawa keinginan mereka juga kadangkala dizahirkan dengan cara tersirat. Contohnya:

18) Sofiya : Ibu, kakak nak pakai lipstick.
Ibu : Malam-malam orang tak pakai lipstick.
Sofiya : Kakak nak pakai lipstick jugak!


2.7 Bertanya

Bertanya merupakan teknik yang seringkali digunakan oleh Sofiya untuk memenuhi naluri ingin tahunya tentang pelbagai perkara di sekelilingnya. Dalam bahasa, ada dua jenis ayat tanya, iaitu ayat tanya terbuka dan ayat tanya tertutup (Nik Safiah Karim et al., 1996 :427). Ayat tanya terbuka ialah ayat tanya yang jawapannya tidak terhad kepada perkataan ya atau tidak, sebaliknya bergantung pada maksud yang terkandung dalam ayat tanya tersebut. Manakala, ayat tanya tertutup pula ialah ayat tanya yang memerlukan jawapan ya atau tidak/bukan.

Selain daripada bertujuan untuk mendapatkan jawapan, kadangkala pertanyaan orang dewasa dilahirkan untuk mendapatkan pengesahan, menyuruh atau mengejek. Namun begitu, bagi Sofiya, teknik bertanya merupakan teknik yang digunakan untuk membolehkan dia benar-benar mengetahui sesuatu perkara itu. Setiap pertanyaannya perlu dijawab dengan jelas, sama ada menggunakan ya, tidak atau jawapan dalam bentuk yang lain. Oleh itu, pertanyaan Sofiya boleh berbentuk pertanyaan terbuka dan tertutup. Walau bagaimanapun, bentuk pertanyaan yang lebih awal digunakan ialah pertanyaan terbuka, tentang nama, tempat dan arah. Contohnya seperti:

19) Sofiya: Apa ni bu?

20) Sofiya: Itu apa?

Pertanyaan di atas timbul apabila Sofiya mula mengenal alam sekelilingnya dan mempunyai dorongan untuk mengetahui nama benda-benda. Ini menunjukkan bahawa dia sudah mula mempunyai pengetahuan kognitif.

Dari segi penguasaan kata ganti nama tanya, didapati bahawa kata tanya apa dikuasai lebih awal daripada siapa. Hal ini menunjukkan bahawa pada peringkat awal, Sofiya melihat semua yang terdapat di sekelilingnya sebagai benda, dan belum ada perbezaan antara kategori manusia dan bukan manusia. Kata tanya siapa mula digunakan apabila dia tahu membezakan antara manusia dan bukan manusia. Contohnya, jika mendapat baju atau mainan yang baru, dia akan bertanya siapakah yang membelikan barang tersebut untuknya. Sebagai contoh:

21) Sofiya: Siapa belikan baju ni?

22) Sofiya: Siapa beli buku ni bu?

Dalam contoh di atas, selalunya pertanyaan itu diungkapkan untuk dia mengetahui siapakah yang membelikannya barang tersebut. Secara tidak langsung, hal ini juga menunjukkan bahawa dia sudah pandai menghargai pemberian orang lain kepadanya.

Kata tanya mana dikuasai lebih kemudian, iaitu pada usia lebih kurang dua tahun. Contohnya:


23) Sofiya: Mana kasut kakak?

24)) Sofiya: Mana beg kakak?

25) Sofiya: Bu, kita nak pergi mana?

26) Sofiya: Ibu beli dekat mana?

Contoh-contoh di atas memperlihatkan perkataan mana merujuk kepada makna arah dan makna tempat, dan hal ini sama dengan bahasa orang dewasa. Dalam contoh ayat (26), selalunya pertanyaan itu diungkapkan selepas contoh ayat-ayat (21). Contoh ayat (26) ini juga mengukuhkan lagi kenyataan bahawa Sofiya sudah pandai menghargai pemberian orang lain.

Apabila mencapai usia tiga tahun, Sofiya sudah mula menggunakan pertanyaan sebab musabab, dengan menggunakan kata tanya kenapa.

27) Sofiya: Kenapa ayah tinggal kakak?

28) Sofiya: Kenapa baby Harith menangis? (Harith ialah anak jiran sebelah)

Pertanyaan tertutup mula digunakan pada usia lebih kurang tiga tahun juga. Kebanyakan persoalan yang ditanyakan adalah berkenaan dengan diri sendiri atau keluarga terdekat. Contohnya:

29) Sofiya: Cantik tak rambut kakak?

30) Sofiya: Kita nak pergi jalan ke ayah?

31) Sofiya: Perut Mak Busu ada baby ke bu?


2.8 Menjawab

Teknik menjawab merupakan teknik yang berkaitan dengan teknik bertanya yang dihuraikan sebelum ini. Dalam konteks ini, pertanyaan daripada orang lain menjadi penggerak utama dalam membentuk perhubungan dua hala. Sofiya akan menjawab berdasarkan pada pertanyaan yang diajukan. Untuk pertanyaan terbuka, tumpuan akan diberikan kepada fokus soalan. Jarang dilihat Sofiya ketika berusia dalam lingkungan dua tahun, menjawab dengan menggunakan ayat yang penuh, melainkan menjawab dengan satu perkataan sahaja. Contohnya:

32) Ibu: Kakak dah mandi?
Sofiya: Dah.

33) Ayah: Kakak makan apa?
Sofiya: Biskut.

Apabila mencapai usia tiga tahun, Sofiya sudah mula memberikan jawapan yang lebih panjang, serta dapat juga dilihat penggunaan kata nama arah dan kata bilangan dalam jawapannya. Kadangkala jawapan untuk satu-satu pertanyaan diberi dalam bentuk beberapa ayat. Jawapan yang diberikan juga adakalanya terbentuk dalam ayat yang sempurna. Misalnya:

34) Ibu: Kakak dah mandi?
Sofiya: Kakak dah mandi, ayah mandikan kakak.

35) Ibu: Mana mainan adik?
Sofiya: Kakak dah simpan dalam bakul mainan.

36) Ibu: Kakak beli apa?
Sofiya: Kakak beli banyak, gula, coklat, air kotak.

Bagi soalan berbentuk pertanyaan tertutup pula, pada peringkat umur 1½ hingga 2 tahun, jawapan diberikan sama ada dengan anggukan atau gelengan kepala, atau dengan mengulang sebahagian pertanyaan. Contohnya:


37) Ayah: Ainin nak Ribena?
Sofiya: Nak Ribena.

Apabila berusia 3 tahun, kebanyakan jawapan untuk pertanyaan tertutup adalah dalam bentuk nak dan tak nak sahaja. Contohnya:

38) Ibu: Sofiya nak makan nasi?
Sofiya: Nak.

39) Ibu: Kakak nak Milo?
Sofiya: Tak nak.

Jawapan untuk bentuk ayat tanya tertutup, iaitu ya dan tidak biasanya lahir apabila Sofiya menyahut panggilan seseorang. Contohnya:

40) Ibu: Kakak!
Sofiya: Ya bu!

Seawal usia dua tahun, Sofiya dilihat telah mula menggunakan jawapan negatif tidak. Kata-kata yang digunakan ialah kata nafi tidak (tak) dan bukan. Keupayaan menggunakan kata nafi ini merupakan lanjutan daripada keengganan terhadap sesuatu yang sebelum ini dinyatakan dalam bentuk tangisan atau gerak-geri, sewaktu masih bayi. Apabila sudah boleh berbahasa, keupayaan tersebut dipindahkan dalam bentuk bahasa.


2.9 Mengulas

Tatkala Sofiya sudah pandai berbahasa, dia mula menunjukkan keupayaan untuk membuat ulasan tentang sesuatu perkara. Kebanyakan perkataan yang digunakan terdiri daripada kata adjektif dan adverba, menunjukkan bahawa dia sudah berupaya mengekspresikan perasaannya terhadap sesuatu perkara yang dialaminya. Contoh-contoh ayat di bawah diujarkan oleh Sofiya ketika dia berusia antara 2½ hingga 3 tahun.

41) Sofiya: Cantiknya baju ibu.

42) Sofiya: Ibu bawa kereta lajulah.

Terdapat juga ulasan yang dibuat berbentuk perbandingan, sama ada perbandingan setara ataupun berlawanan. Misalnya:

43) Sofiya: Kakak ada warna, adik tak ada.

44) Sofiya: Sufi sayang adik Kimi dia, kakak pun sayang adik kakak.


2.10 Melarang

Jika diperhatikan, larangan dalam bahasa terbahagi kepada dua, iaitu larangan halus dan larangan kasar. Larangan kasar menggunakan perkataan jangan, manakala larangan halus menggunakan perkataan usah dan tak usah. Dalam bahasa kanak-kanak, bentuk larangan yang digunakan ialah jangan. Pada usia 1½ hingga 2 tahun, bentuk yang digunakan oleh Sofiya ialah angan. Bentuk penuh jangan hanya mula boleh dilafazkan pada sekitar usia 3 tahun. Contohnya:

45) Sofiya: Anganlah, Nin punya!

46) Sofiya: Adik, jangan kacau ibu solat dik.


2.11 Mengajak

Teknik terakhir yang akan dibincangkan ialah teknik mengajak. Teknik ini dilihat sebagai satu cara Sofiya membina hubungan yang mesra dan rapat dengan seseorang. Pada tahap sebelum berbahasa lagi, Sofiya sudah mempamerkan teknik mengajak dengan cara tersenyum, menganggukkan kepala atau memberikan mainannya kepada seseorang. Menjelang usia 2 hingga 3 tahun, dia sudah mula menggunakan perkataan yang bertujuan untuk mengajak seperti meh (mari) dan jom (mari). Contohnya dalam ujaran-ujaran yang dihasilkan oleh Sofiya di bawah:


46) Sofiya: Meh kakak sikat rambut adik!

47) Sofiya: Ibu jomla naik atas.



3.0 Kesimpulan

Berdasarkan huraian dan contoh-contoh yang diberikan, dapat diperhatikan bahawa Sofiya mempelajari pragmatik melalui interaksinya dengan orang-orang di sekeliling. Sewaktu menggunakan teknik bercerita, dia belajar bagaimana untuk berkongsi pengalamannya ataupun menyatakan keinginannya terhadap sesuatu perkara. Dalam teknik-teknik yang lain seperti bertengkar dan berbahas, bekerjasama, menyatakan keinginan, mengkritik, memerintah atau meminta, bertanya, mengulas, melarang, dan mengajak, didapati bahawa Sofiya menguasai kemahiran berkomunikasi untuk pelbagai tujuan dan keperluan. Jelas dapat dilihat bahawa dalam usia antara 1½ hingga 3 tahun, dia memahami konteks dalam perbualan. Di samping itu, dia turut memahami bilakah masa yang sesuai untuk dia menjadi pembicara atau pendengar dalam satu-satu perbualan atau komunikasi.

Dapatan ini bersesuaian dengan pandangan Clark (2003), iaitu;

”Learning a language requires proficient use for all sorts of everyday purposes – from greetings to gossip, from simple requests at the table to telling of a joke, from giving instructions to telling a story. To do any of these things requires knowing how to use one’s language. One has to know the appropriate ways to address others, depending on age, sex, relationship, and status. One also has to know how to get the other’s attention, how to take turns, and how to talk about the topic in question in that language. These are all skills on constant display in conversations, and it seems reasonable to suppose that children acquire these skills from conversation.”


Dari segi penggunaan kata ganti nama diri pula, ganti nama diri pertama muncul lebih awal daripada bentuk ganti nama yang lain. Kanak-kanak Melayu biasanya membahasakan diri mereka dengan nama sendiri, atau gelaran dan pangkat dalam keluarga, seperti kakak atau abang. Perkataan saya hanya muncul jika kanak-kanak itu pergi ke taska atau tadika, dan dalam kes Sofiya, dia menggunakan ganti nama saya di taska, tetapi di rumah, ganti nama kakak tetap digunakan. Hal ini biasa berlaku dalam masyarakat Melayu kerana ibu bapa sering memanggil anak mereka dengan nama anak tersebut atau gelaran dalam keluarga. Oleh sebab kanak-kanak mudah meniru atau mengulang apa yang didengarnya, ganti nama tersebut terus digunakan untuk merujuk dirinya sendiri. Selain itu, ganti nama kita juga telah mula digunakan seawal umur 3 tahun, sebagaimana dalam contoh (25) dan (30). Ini bermakna, kanak-kanak sudah memahami konsep adanya orang lain dalam hidupnya, dan bukan hanya berkenaan dirinya sahaja. Perkataan kita bersifat inklusif, iaitu merangkumi orang yang bercakap dan yang diajak bercakap. Oleh itu, dalam mendidik anak-anak dalam kalangan keluarga Melayu, semangat ’kekitaan’ itu penting, sesuai dengan kebudayaan Melayu yang memberi tumpuan kepada hidup berkerabat dan bermasyarakat.

Biasanya, bentuk ganti nama kedua muncul lebih lambat dalam perbendaharaan kata kanak-kanak Melayu. Perkataan awak, kamu atau engkau hanya digunakan apabila kanak-kanak tersebut memasuki alam persekolahan. Bagi ganti nama diri ketiga pula, perkataan dia mula digunakan sewaktu berumur 3 tahun seperti dalam contoh (44). Kata ganti nama ketiga yang lain seperti mereka pula, biasanya dikuasai lebih lewat.

Daripada pelbagai teknik berinteraksi dalam kalangan kanak-kanak Melayu yang dihuraikan, dapatlah disimpulkan bahawa kanak-kanak dapat menghayati dengan sendirinya pelbagai aspek bahasa, sama ada dari segi sistem, struktur ataupun tatabahasa sosialnya. Aspek pragmatik jelas dapat dilihat apabila kanak-kanak memahami konteks perbualan. Dengan kata lain, mereka tahu dan faham bila ketika yang sesuai untuk mereka bercakap atau membalas percakapan orang lain. Semuanya ini berlaku tanpa latih tubi yang formal sebagaimana yang digunakan dalam pengajaran bahasa di sekolah. Ini membuktikan bahawa pemerolehan bahasa pertama berlaku melalui proses-proses penyerapan. Sungguhpun demikian, peniruan merupakan satu proses yang seringkali digunakan oleh kanak-kanak untuk memperolehi bahasa. Oleh itu, contoh penggunaan bahasa yang baik dan bersopan dalam kalangan ibu bapa perlulah ditunjukkan, agar dapat melahirkan generasi yang berpekerti mulia.




























Bibliografi

Asmah Haji Omar. 1993. Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Clark, Eve V. 2003. First Language Acquisition. Cambridge: Cambridge University Press.
Kess, J. F. 1976. Psycholinguistics Introductory Perspective. New York: Academic Press.
Mangantar Simanjuntak. 1987. Pengantar Psikolinguistik Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik Safiah Karim et al. 1996. Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Piaget, J. 1926. The Language and Thought of The Child. New York: Harcourt, Brace.

Monday, January 26, 2009

Lengkapkan nama anda

Sekiranya nama anda belum ada dalam senarai di kanan laman ini, sila masukkan nama, nombor pendaftaran dan nombor telefon anda dalam comments.

Tugasan mengenai pemerolehan bunyi bahasa kanak-kanak

Siapkan tugasan ini sebelum 30 Januari 2009 dan masukkan ke dalam comments.

1. Teruskan mengumpulkan bahan perkembangan bahasa kanak-kanak yang dilakukan.

2. Buatkan catatan lengkap mengenai bahan bahasa kanak-kanak yang anda lakukan. Catatan itu hendaklah mengandungi:

a. Demografi subjek:

Nama, umur, jantina, latar sosioekonomi keluarga, dan ulasan umum mengenai kanak-kanak (kecacatan sekiranya ada).

b. Catatan bahan yang dilakukan menurut tarikh bahan diambil. Gunakan lambang ejaan biasa.

c. Buat pemurnian kepada bahan yang dikumpulkan. Tambah bahan dengan bertanya kepada ibu kanak-kanak mengenai bahan bahasa yang diperolehi oleh subjek anda sebelum anda memulakan catatan.

d. Buat analisis bunyi yang sudah dikuasai oleh subjek anda.

e. Buat jadual pemerolehan bunyi bahasa subjek anda sehingga kini. Lihat contoh berikut:


Nota: Pada garis melintang di bawah itu letakkan bunyi-bunyi bahasa, dan pada garis menegak di kiri pula letakkan umur kanak-kanak.

Sunday, January 18, 2009

Tugasan untuk semua

1. Tuliskan nama penuh, nama dan alamat sekolah, dan nombor telefon bimbit di atas setiap tugasan.

2. Perkembangan penyelidikan perkembangan bahasa kanak-kanak.

a. Sejarah awal penyelidikan perkembangan bahasa kanak-kanak.

b. Jenis-jenis penyelidikan yang dijalankan: persampelan naturalistik, eksperimen, dan masalah yang dihadapi. (1000 perkataan)

c. Jelasan fenomena penghasilan, pemahaman dan peniruan bahasa oleh kanak-kanak. (1000 perkataan)

d. Buat jadual perkembangan bunyi bahasa kanak-kanak yang diperhatikan.

e. Senaraikan perkataan yang dikuasai oleh kanak-kanak yang diperhatikan dan nayatakan golongannya.

f. Senaraikan frasa dan ayat yang dikuasai oleh kanak-kanak yang diperhatikan.

3. Huraikan teori penguasaan bahasa kanak-kanak.

a. Peniruan - dengan contoh (1000 perkataan)

b. Inat (kuderat) dengan contoh (1000 perkataan)

c. Kognisi (intelektual) dengan contoh (1000 perkataan)

d. Input dengan contoh (1000 perkataan)

4. Dengan melihat kanak-kanak yang anda perhatikan, dan melalui temu bual dengan ibunya, lakarkan kelima-lima tahap perkembangan bahasa kanak-kanak yang anda perhatikan. Beri contoh yang relevan.

a. Tahap I (0-8 minggu)

b. Tahap II (8-20 minggu)

c. Tahap III (20-30 minggu)

d. Tahap IV (25-50 minggu)

e. Tahap V (9-18 bulan)

Friday, January 16, 2009

BAB IV

PELAKSANAAN TINDAK UJARAN


1. PENGENALAN

Seperti dinyatakan dalam Bab III, pemahaman terhadap ujaran boleh berhenti apabila ujaran itu dimengerti, atau dilanjutkan dengan suatu tindakan. Bila kita mendengar ujaran atau membaca suatu wacana yang isinya merupakan pemberitaan belaka, maka pada umumnya kita hanya memahami saja apa yang diujarkan atau ditulis dalam wacana tersebut. Jikalau, misalnya, kita mendengar ujaran

(1) Para pendukung Mbak Gema sudah mulai berdatangan

maka kita boleh diam saja atau memberikan tanggapan verbal, tetapi tidak ada kewajiban bagi kita melakukan sesuatu setelah memahami ujaran tersebut. Akan tetapi, pada suatu suasana lain, tidak mustahil bahawa pemahaman terhadap ujaran memerlukan tanggapan yang berupa tindakan. Apabila, misalnya, kita mendengar ujaran

(2) Tolong pintunya ditutup

maka kita tidak cukup hanya memahami makna ayat (2), tetapi kita juga harus melakukan suatu perbuatan tertentu, yakni, menutup pintu yang dimaksudkan.

Dengan kata lain, pemahaman terbagi atas dua bahagian (Clark dan Clark 1977): (1) pemahaman untuk memahami makna suatu ujaran (sudah dibahas di Bab III), dan (2) pemahaman bagi melaksanakan makna ujaran tersebut. Bab IV membahas bahagian kedua dari dua bahagian ini, yakni, pelaksanaan tindak ujaran.

Bab ini adalah langkah lanjutan setelah orang memahami ujaran yang baru saja didengarnya.


2. TUJUAN UJARAN

Dalam menghasilkan ujaran, manusia pastilah mempunyai tujuan, bahkan waktu kita sedang berbual-bual dan berjalan-jalan ke sana kemari sekalipun. Tujuan tadi berupa pemberian informasi kepada pendengar.

Kalau dalam suatu wacana dialog, misalnya, kita menemui ayat

(1) Pak Wijoyo sekarang ada di Leipzig

maka kita sebagai pendengar akan menangkap makna ujaran tersebut tetapi kita tidak akan berbuat apa-apa, seperti menutup pintu atau membuka jendela. Yang akan kita lakukan adalah menangkap makna tersebut dan kemudian menyimpannya dalam memori kita. Pada suatu masa lain, mungkin informasi ini diperlukan. Sebagai contoh, apabila, pada suatu hari ada orang hari bertanya Di mana Pak Wijoyo, ya, sekarang.

Ayat (1) juga mengandung perpaduan satu proposisi dengan proposisi lain. Ini bermaksud, ada argumen Pak Wijoyo dan predikasi ada di Leipzig dan keterangan waktu sekarang. Di samping itu, orang yang menghasilkan ujaran ayat (1) juga mempunyai anadaian-andaian tertentu mengenai pengetahuan orang yang diajak bicara, si interlokutor. Pembicara pasti berandaian, misalnya, bahawa pendengar mengenali Pak Wijoyo itu. Yang tidak dia ketahui adalah apa yang terjadi padanya, yakni, keberadaan dia di Leipzig pada masa ini.

Dengan demikian, suatu ujaran itu mengandung di dalamnya tiga unsur: (a) tindak ujaran (speech acts), muatan proposisi (propositional content), dan muatan tematik (thematic content). Marilah kita lihat ketiga-tiga unsur ini lebih lanjut.

a. Tindak Ujaran

Konsep mengenai tindak ujaran (Speech Acts) mulai dipikirkan oleh seorang profesor Universiti Oxford, John L. Austin, dalam syarahannya di Universiti Harvard tahun 1955. Syarahan ini kemudian diterbitkan menjadi buku dengan judul How to Do Things with Words pada tahun 1962 setelah beliau meninggal. Karya beliau tersebut kemudian dilanjutkan oleh salah satu mahasiswa Amerikanya, J.R. Searle, yang kemudian menerbitkan buku Speech Acts (1969) (Mei 1998: 1051; Mei 2002: 92).

Searle membahagi tindak ujaran ke dalam lima kategori (Searle 1969: 34; Mey 2002: 120): (a) representatif, (b) direktif, (c) komisif, (d) ekspresif, dan (e) deklarasi. Tindak ujaran yang berupa representatif adalah pernyataan (assertions) tentang suatu keadaan di dunia. Dari segi pembicara apa yang dinyatakan itu mengandung kebenaran. Oleh sebab itu, jikalau pembicara berkata

(2) Katanya, Abu Hamzah mempunyai empat isteri

maka ayat tadi dari segi pembicara menyatakan suatu proposisi yang benar.
Pada tindak ujaran direktif, pembicara melakukan tindak ujaran dengan tujuan agar pendengar melakukan sesuatu. Wujud tindak ujaran ini dapat berupa pertanyaan seperti dalam (2), permintaan sangat lunak seperti dalam (3), sedikit menyuruh seperti dalam (4), atau sangat langsung dan kasar seperti dalam (5).

(2) Apa kamu harus merokok di sini?
(3) Mbok kamu mampir kalau ke Jakarta.
(4) Ayo, dong, dimakan kuihnya.
(5) Pergi kamu!

Tindak ujaran komisif sebenarnya boleh dianggap sama seperti tindak ujaran direktif, hanya saja arahnya berbeza. Dalam ujaran direktif, si pendengarlah yang diharapkan melakukan sesuatu. Dalam tindak ujaran komisif, “perintah” itu diarahkan kepada pembicara sendiri. Kerana itu, ada yang menganjurkan agar kedua jenis tindak ujaran ini dijadikan satu menjadi obligatif (Mei 2002:

121). Namun pada umumnya orang masih memisahkan kedua-duanya. Kata-kata seperti berjanji, bersumpah, bertekad termasuk dalam kategori komisif seperti terlihat pada contoh-contoh berikut:

(6) Saya berjanji akan mencintaimu lebih lama daripada selamanya.
(7) Saya bersumpah untuk membalas kematian adik saya.
(8) Kami bertekad untuk menuntut anggota DPR hadir pada tiap sidang.

Tindak ujaran ekspresif digunakan oleh pembicara bila dia ingin menyatakan keadaan psikologis dia mengenai sesuatu, misalnya, menyatakan rasa terima kasih, takziah (bela sungkawa), menyampaikan ucapan selamat, dan juga mengumpat. Berikut adalah beberapa contoh tindak ujaran ekspresif:

(9) Mohon maaf, Bu, kami tidak boleh ikut membantu.
(10) Selamat, ya, semoga anakmu lahir selamat, cantik atau tampan.
(11) Terima kasih, Oom, atas kiriman uangnya.
(12) Gila, barang busuk begini dibeli!

Tindak ujaran deklarasi menyatakan adanya suatu keadaan baru yang muncul oleh kerana ujaran itu. Ayat seperti (13) menyatakan bahawa kedua orang itu telah menjadi suami-isteri, sedangkan ayat (14) merujuk pada dijatuhkannya hukuman terhadap orang itu.
(13) I hereby pronounce you husband and wife.
(14) Dengan ini kami menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun.

Satu hal yang perlu dicatat dalam tindak ujaran ini adalah bahawa bagi menyatakan (13) dan (14) seseorang harus memiliki wewenang bagi melakukannya. Hanya padri Kristian yang dapat mengucapkan ayat (13) dan hanya hakimlah yang berhak mengucapkan (14). Tanpa wewenang itu, kedua ayat ini tidak mempunyai nilai. Syarat seperti ini dikenal dengan istilah, syarat kelayakan (felicity condition).

b. Muatan Proposisi

Dalam muatan proposisi (propositional content) pendengar meramu satu proposisi dengan proposisi yang lain; makin lama makin meninggi sehingga terbentuklah suatu pengertian yang menyeluruh dari proposisi-proposisi tersebut. Seandainya kalimat yang kita dengar adalah

(15) Ira menyanyi lagu popular Kopi Dangdut.

maka terbentuklah hierarkhi proposisi mengenai argumen Ira dan lagu populer Kopi Dangdut dengan predikasi menyanyi. Lagu itu sendiri adalah lagu yang populer. Ramuan antara dua argumen dan predikasi ini membentuk pengertian yang menyeluruh seperti yang diungkapkan oleh ayat (15).

c. Muatan Tematik

Muatan tematik merujuk pada pengertian akan adanya dua jenis informasi dalam ayat, yakni, informasi lama dan informasi baru. Perhatikan ayat berikut.

(16) Apa Ira yang menyanyi lagu Kopi Dangdut?

Pembicara yang mengucapkan ayat (16) pastilah berandaian bahawa ada orang yang menyanyikan lagu Kopi Dangdut. Dia juga berandaian bahawa pendengar memiliki pengetahuan seperti itu pula. Andaian seperti inilah yang dinamakan informasi lama, yakni, informasi yang diandaikan oleh pembicara berada pada kesadaran pendengar pada saat ayat itu diujarkan. Yang tidak diketahui adalah apakah yang menyanyikan lagu itu Ira. Inilah informasi baru yang disampaikan oleh pembicara, dan kerana ayat ini berupa pertanyaan maka memerlukan tanggapan dari pendengar.
Dari gambaran pada Bahagian 1.1 – 1.2 tampak bahawa pada waktu berujar tiga faktor di atas terkandung dalam ujaran itu. Dari contoh (16) dapat kita rinci hal-hal berikut:

1. Dari segi tindak ujaran, ayat (16) adalah suatu ka-limat direktif, yakni, ayat yang memerlukan suatu tindakan yang berupa jawapan verbal.
2. Dari segi muatan proposisi, ayat ini mengandung dua argumen dan predikasi.
3. Dari segi muatan tematik, ayat ini mengandung informasi lama (yakni, adanya seseorang yang menyanyikan lagu Kopi Dangdut) dan informasi baru (yakni, Ira yang menyanyikan lagu itu).

Dalam bentuk skema, orang mengungkapkan tujuan pembicaraan dengan menggunakan unsur-unsur berikut:


a. Representatif
b. Direktif
1. Tindak Ujaran c. Komisif
d. Ekspresif
e. Deklarasi

Unsur komunikasi 2. Muatan Proposisi
3. Muatan Tematik


3. LANGKAH UMUM DALAM PELAKSANAAN UJARAN

Langkah apa yang kemudian harus dilaksanakan oleh pendengar setelah memahami suatu ujaran tergantung pada macam ujaran yang didengar. Dari teori tindak ujaran kita ketahui bahawa ujaran hanya boleh representatif, direktif, komisif, ekspresif, atau deklarasi. Bila ujaran yang kita dengar adalah representatif, maka kita memang tidak diharapkan untuk bertindak apa-apa kecuali, mungkin, untuk menyimpan makna ujaran itu dalam memori kita. Oleh sebab itu, seandainya ujaran yang kita dengar adalah

(17) Pak Wijoyo sudah merakamkan tiga VCD

maka kita tidak diharapkan berbuat apa-apa kecuali memahami ujaran itu dan menyimpannya dalam memori kita yang suatu saat mungkin akan diperlukan. Seandainya beberapa minggu kemudian ada orang yang bertanya berapa VCD yang dirakkan oleh Pak Wijoyo, maka informasi yang telah tersimpan (yakni, tiga VCD) dapat diretrif sebagai jawaban. Tidak mustahil pula bahawa anda sudah lupa. Dalam hal ini maka informasi yang pernah masuk itu tentunya tiada lagi; kerananya anda tidak dapat menyawab pertanyaan tersebut.

Bila tindak ujaran yang didengar adalah sebuah pertanyaan, maka tentunya kita akan tahu apakah pertanyaan itu memerlukan jawapan seperti pada contoh di atas, atau hanya jawapan yang berupa ya atau tidak, bukan atau belum. Ayat seperti (18) hanya memerlukan jawapan ya atau tidak, sedangkan (19) memerlukan jawapan yang lebih informatif.
(18) Apa kamu mau ikut? \
(19) Siapa yang mendirikan Kebun Raya Bogor?

Bila tindak ujarannya berupa perintah, maka kita akan melaksanakan (atau tidak mahu melaksanakan) perintah itu. Begitu pula bila tindak ujaran itu ekspresif, maka kita memberikan respons yang selayaknya. Marilah kita lihat pelaksanaan ujaran-ujaran itu.


4. PELAKSANAAN UJARAN

Oleh kerana tindak ujaran ada berjenis-jenis, maka eloklah kita lihat tindak ujaran ini satu persatu.

a. Pelaksanaan Tindak Ujaran Representatif

Kerana tindak ujaran representatif hanyalah merupakan pernyataan mengenai sesuatu, maka yang perlu kita lakukan adalah menghimpun muatan proposisi dan memahami mana yang merupakan informasi lama dan mana yang baru. Dalam menghimpun muatan proposisi ini kita cari mana argumennya dan mana predikasinya; siapa yang menjadi pelaku dan siapa yang menjadi penderitanya; mana yang memodifikasi yang mana (mata air atau air mata), dst. Kemudian kita mencari pula mana dari informasi yang didengar itu yang lama dan mana yang baru. Untuk lebih jelasnya, marilah kita lihat ayat berikut

(20) Sari yang menyanyi lagu Fly Me to the Moon.

Begitu mendengar ayat (20) pertama-tama kita menentukan jenis tindak ujaran apa yang dinyatakan oleh ayat itu. Dari wujud sintaktiknya jelas tampak bahawa tindak ujaran itu adalah tindak ujaran yang representatif. Setelah kemudian kita memperhatikan muatan proposisinya, kita membagi ayat itu ke dalam dua kelompok informasi: (a) lama, dan (b) baru. Dari ayat ini jelas dapat dirasakan bahawa pembicara pasti mengandaikan bahawa pendengar tahu akan adanya orang yang menyanyi lagu Fly Me to the Moon. Informasi inilah yang merupakan informasi lama yang diandaikan diketahui oleh pendengar. Sementara itu, ada informasi lain yang merupakan tambahan pada informasi lama, yakni, orang yang menyanyikan lagu itu, Sari.

Dalam bentuk skema kedua informasi itu dapat digambarkan begini:

a. Informasi lama: X menyanyi lagu Fly Me to the Moon.
b. Informasi baru: X = Sari

Informasi baru, bersama informasi lama, inilah yang kemudian disimpan dalam memori kita.
Akan tetapi, orang tidak selalu berbicara secara eksplisit terus-menerus. Ada kalanya pembicara tidak memberikan informasi itu secara lengkap dan eksplisit. Perhatikan ayat berikut.

(21) The man was murdered. A knife lay nearby.
(22) The man was murdered. The knife lay nearby.

Frasa a knife pada (21) menunjukkan bahawa si pembicara sama sekali tidak mempunyai fikiran atau kecurigaan bahawa pisau itu adalah alat yang digunakan oleh si pembunuh. Dia hanya sekadar menyatakan adanya pisau di dekat mayat itu. Sebaliknya, pada (22) pembicara mempunyai kecurigaan terhadap pisau itu sebagai alat yang digunakan oleh si pembunuh. Kerana itu, dia menggunakan frasa the knife, bukan a knife.

Suatu informasi yang secara terselinap dimasukkan dalam suatu ujaran dinamakan implikatur. Oleh sebab itu, pada ayat (21) ada implikatur yang menyatakan bahawa pisau tersebut tidak dicurigai sebagai alat pembunuhan. Sebaliknya, pada (22) implikaturnya adalah bahawa pisau tersebut dicurigai dipakai sebagai alatnya.

Dalam contoh berikut tampak pula adanya implikatur.

(23) Dia masuk ke kamar dan diambilnya sebuah buku.
(24) John has stopped beating his wife.

Implikatur yang terdapat pada (23) adalah bahawa di kamar itu ada beberapa buku dan dia mengambil salah satu buku itu. Pada (23) implikaturnya adalah bahawa (a) John pastillah orang yang sudah berkeluarga, dan (b) dia dikenal sebagai orang yang suka memukuli isterinya.
Ayat sanggahan sebenarnya sama dengan ayat representatif. Hanya saja dalam ayat seperti ini, informasi barunya bukan dalam bentuk positif tetapi negatif. Perhatikan kalimat berikut.

(25) Bukan Sari yang menyanyi lagu Fly Me to the Moon.

Informasi lamanya sama seperti (20), yakni, adanya seseorang yang menyanyi lagu Fly Me to the Moon. Bezanya hanyalah bahawa informasi baru pada (20) adalah X = Sari sedangkan pada (25) X # Sari ( X bukan Sari).

Baik implikatur mahupun ayat negatif seperti di atas tetap saja dapat kita simpan dalam memori kita kerana kedua-duanya merupakan ayat representatif.

b. Pelaksanaan Tindak Ujaran Direktif

Tindakan ujaran direktif, seperti dinyatakan di atas, sebenarnya dapat dibagi menjadi tiga kelompok yang lebih kecil: (a) pertanyaan dengan jawapan ya, tidak, bukan atu belum, (b) pertanyaan yang memerlukan jawapan mana, (si, meng)apa, dan (c) perintah bagi melakukan sesuatu.

i. Pelaksanaan untuk Pertanyaan Ya atau Tidak

Pertanyaan yang diistilahi dengan Pertanyaan Ya atau Tidak, yang dalam bahasa Inggris umum dirujuk dengan istilah Yes or No Questions, sebenarnya juga memiliki informasi lama seperti pada ayat representatif, baik yang biasa mahupun yang sanggahan. Perhatikan contoh-contoh berikut:

(26) Ira yang menyanyi lagu Kopi Dangdut.
(27) Bukan Ira yang menyanyi lagu Kopi Dangdut.
(28) Apa Ira yang menyanyi lagu Kopi Dangdut?

Kalau kita mendengar tiga ayat di atas akan kita rasakan bahawa ketiga-tiganya memiliki informasi yang sama, yakni, adanya seseorang yang menyanyikan lagu Kopi Dangdut. Beza antara (26) dan (27), seperti dinyatakan sebelumnya, adalah bahawa pada (26) X = Ira sedangkan pada (27) X # Ira.
Begitu pula dengan ayat (28). Beda antara (28) di satu pihak dengan (26-27) di pihak lain adalah bahawa informasi baru pada (28) belum diketahui. Kerana itu, cara mengimbau semula informasi dari mental kita dan kemudian menerapkannya juga berbeza. Pada waktu kita mendengar (28), otak kita “berputar” bagi mencari informasi yang pernah masuk ke dalam benak kita mengenai seseorang yang menyanyi lagu itu. Jikalau dalam kotak memori kita pernah masuk dan tersimpan suatu informasi yang menyatakan bahawa memang Ira yang menyanyi lagu itu, maka informasi itu akan kita imbau. Dengan sendirinya, jawapan terhadap pertanyaan itu pastilah Ya. Bila dalam memori kita ternyata kita dapati informasi yang pernah masuk dan tersimpan adalah Fahmi Sahab, bukan Ira, maka kita akan menjawabnya dengan Bukan.

Dengan singkat prosedurnya adalah sebagai berikut (Clark dan Clark 1977: 103):

a. Representasikan ayat yang didengar: menyanyi (X, Y)
b. Cocokkan representasi tersebut dengan informasi yang anda miliki: menyanyi (X, Y).
c. Bandingkan kedua representasi tersebut:
i. Nyatakan Truth Index pada Benar
ii. Bila tidak cocok, ubahlah menjadi Salah
d. Berikan respon sesuai dengan Truth Index pada c.

ii. Pelaksanaan untuk Pertanyaan Mana atau Apa

Istilah Pertanyaan Mana atau Apa yang diperkenalkan di sini sebagai padanan Inggris WH-Questions dilandasi oleh argumentasi bahawa mana dapat mewakili berbagai macam pertanyaan (di mana, ke mana, bagaimana) dan apa dapat pula mewakili apa, siapa, berapa, kenapa atau mengapa.
Berbeza dengan Pertanyaan Ya atau Tidak, Pertanyaan Mana atau Apa tidak menanyakan benar tidaknya suatu proposisi, tetapi mencari suatu butir informasi tertentu. Oleh kerana itu, prosesnya tidak hanya mencocokkan antara informasi baru yang sedang dicari dengan informasi lama yang telah tersimpan dalam mental kita seperti pada Pertanyaaan Ya atau Tidak. Pada Pertanyaan Mana atau Apa, begitu kita mendengar pertanyaan tersebut kita mencari dalam memori kita bagi menemukan butir informasi yang diperlukan. Perhatikan contoh berikut.

(29) Siapa yang memimpin Perang Paderi? ???

Setelah mendengar ayat (29) kita akan pertama-tama merepresentasikan ayat tersebut: mana yang merupakan informasi lama – seseorang, X, memimpin suatu perang yang dikenal dengan nama Perang Paderi.??? Kemudian, kita cermati satu demi satu informasi-informasi yang telah tersimpan dalam memori kita untuk menemukan informasi yang cocok dengan informasi lama ini. Hasil dari pencarian itu merupakan jawaban terhadap (29). Bila dalam memori kita antesiden itu memang tersimpan, maka jawaban kita adalah Imam Bondjol. Bila ternyata memori kita kosong dalam hal ini, maka jawabannya boleh Aduh, siapa, ya atau Lupa aku.

Secara umum dapatlah dikatakan bahawa untuk melaksanakan tindak ujaran mana atau apa dilakukan proses berikut:

a. Tentukan representasi ayat yang didengar.
b. Carilah dalam memori suatu antesiden yang cocok dengan informasi lama pada ayat.
c. Imbaulah informasi tersebut sebagai jawapan.

Sering pula terjadi bahawa informasi yang dicari itu tidak dengan mudah didapati. Semakin sukar informasi itu diperoleh, semakin lamalah waktu yang diperlukan. Tidak mustahil pula bahawa kita gagal. Perhatikan contoh-contoh pertanyaan berikut yang mempunyai gradasi kesukaran yang berbeza-beza:

(30) Siapa presiden pertama Indonesia?
(31) Siapa Perdana Menteri India yang sangat terkenal pada zaman Soekarno?
(32) Siapa raja Inggeris yang turun takhta untuk bernikah dengan wanita biasa?

Jawaban untuk Pertanyaan mana atau apa juga dapat dipengaruhi oleh faktor eksternal. Suatu pertanyaan yang sama dapat memunculkan jawapan yang berbeza-beza, meskipun penjawabnya itu sama. Perhatikan ayat berikut:

(33) Di mana Stesen Gambir?

Jikalau pertanyaan itu muncul di Jakarta, maka informasi baru yang akan kita sampaikan sebagai jawaban adalah Di Jalan Medan Merdeka Timur. Akan tetapi, kalau pertanyaan itu munculnya di Surabaya atau Bandung, maka jawapannya adalah Di Jakarta.
Bahawa dalam mental kita terdapat lebih dari satu jawaban sebenarnya adalah suatu hal yang biasa. Perbezaan mahupun jenis jawapan yang diimbau untuk diberikan memang dapat banyak dipengaruhi tidak hanya oleh faktor eksternal tetapi juga faktor internal. Seorang mahasiswi pondok yang mendapat pertanyaan (34) melalui telefon daripada seorang teman lelakinya

(34) Kamu buat apa malam Minggu ini?

mempunyai beberapa pilihan bagi menjawabnya. Jikalau memang dia sudah ada rancangan untuk pulang menjenguk ibunya yang sakit, yang tentunya sudah tersimpan dalam memori dia, dia akan berkata (35). Kalau dia tidak mempunyai rancangan dan semacam mengharapkan untuk diajak pergi, dia mungkin akan mengatakan (36). Jikalau dia tidak suka lelaki itu, mungkin saja dia mencari alasan seperti (37); kalau dia agak bermain sedikit, boleh saja dia menjawabnya dengan (38).

(35) Mahu menengok emak, katanya lagi sakit.
(36) Tidak ada apa-apa. Kenapa?
(37) Aku mahu belajar; banyak ujianlah.
(38) Ikut apa soalan engkau seterusnya.

iii. Pelaksanaan untuk Ayat Perintah

Ayat perintah umumnya mewakili tindak ujaran direktif yang langsung. Pada umumnya respons terhadap tindak ujaran ini berupa perbuatan untuk melakukan sesuatu. Ambillah contoh berikut:

(39) Masukkan kad kredit itu ke dompet.

Begitu mendengar ayat (39) yang kita lakukan adalah menentukan tujuan dari ayat tersebut. Dalam hal ini, ada suatu keadaan di mana suatu kad kredit tidak berada di dalam dompet tetapi kemudian harus masuk ke dalam dompet tersebut. Ertinya, proposisi mengenai kedua argumen ini harus serasi dengan predikasinya.

Langkah berikutnya adalah bagi mengamati keadaan saat ini, yakni, adanya kad kredit yang tidak ada di dalam dompet. Dari kedua objek ini, mana yang mempunyai status yang lebih kekal dan mana yang lebih mudah digerakkan. Hal ini penting untuk disadari kerana perbuatan kita melaksanakan tindak ujaran ini dipengaruhi oleh konsep tersebut. Langkah terakhir adalah bagi melaksanakannya dengan berpedoman pada konsep di atas. Dalam hal ini, kita mengambil kad kredit itu dan dimasukkan ke dalam dompet. Dengan langkah-langkah ini maka selesailah tugas kita melaksanakan tindak ujaran direktif ini.

Konsep yang berkaitan dengan kekekalan dan pergerakan ini perlu diperhatikan agar kita melaksanakannya sesuai dengan cara yang digunakan oleh orang lain mana pun. Seandainya perintah itu adalah

(40) Masukkan pena itu ke kole di meja

maka kita secara instingtif tahu bahawa dari kedua benda itu, kole lebih kekal daripada pena. Kerana itu, cara kita melaksanakan ayat (40) adalah bukan dengan meletakkan pena itu di meja lalu menyusupkan kolenya sampai akhirnya pena itu masuk ke kole. Lumrahnya, pena itu kita pegang dan kemudian kita masukkan ke dalam kole di meja. Hasil akhir boleh saja sama, yakni, pena itu berada di dalam kole.

Perbuatan-perbuatan lain dalam melaksanakan tindak ujaran direktif macam ini juga sama. Kalau kita membubuh gula untuk minuman teh yang sedang kita buat, maka sudunyalah yang kita gerak-gerakkan, bukan suduya kita pegang erat lalu gelasnya yang kita goyang-goyang. Kalau kita menangkap papan yang terlepas, maka pemegangnyalah yang kita putar-putarkan, bukan papannya, dst.

c. Pelaksanaan Tindak Ujaran Komisif

Seperti dinyatakan sebelumnya, tindak ujaran komisif berbeza daripada tindak ujaran direktif hanya dalam arahnya, direktif kepada si pendengar, komisif pada diri si pembicara. Perhatikan contoh berikut:

(41) Saya berjanji bagi membiayai persekolahan kamu.

Kata kerja seperti berjanji, bersumpah, dan bertekad menandai jenis ujaran ini. Setelah ujaran ini didengar, maka pendengar mencari muatan proposionalnya dan menentukan pula mana yang berupa informasi lama dan mana yang baru. Tampak di sini bahawa yang baru adalah janji bagi membiayai sekolah seseorang. Informasi lamanya adalah si pembicara, saya.

Kerana tindak ujaran komisif tidak menanyakan atau memerintahkan sesuatu maka tidak ada perbuatan yang harus dilakukan. Seperti halnya dengan tindak ujaran representatif, pelaksanaan tindak ujaran komisif juga hanya berupa penyimpanan informasi ini pada memori kita saja.

d. Pelaksanaan Tindak Ujaran Ekspresif

Kerana tindak ujaran ekspresif menyatakan keadaan psikologis seseorang, maka pelaksanaannya pun bukan berupa perbuatan, khususnya perbuatan fizikal. Perhatikan contoh berikut:

(42) Bu, saya ikut berdukacita; semoga arwah Bapak diterima di sisi Tuhan.
(43) Selamat, ya, semoga panjang umur dan bahagia selalu.
(44) Sial, kamu, ada hutang tak mahu bayar.

Setelah kita memahami muatan proposisional serta muatan tematik ayat (42), maka kita sebagai pendengar hanyalah diam, menyimpan makna ayat itu dalam memori kita. Kalau ada pelaksanaan, umumnya hanya berupa respons yang verbal seperti “Terima kasih” atau ungkapan-ungkapan yang lain.

Begitu juga dengan ayat (43), paling-paling pelaksanaannya hanyalah dalam bentuk ucapan “Terima kasih” dsb. Untuk (44) mungkin tidak perlu ada reaksi apa-apa. Pendengar boleh hanya akan menyimpan makna (44) dalam memori saja.

e. Pelaksanaan Tindak Ujaran Deklarasi

Kerana dalam tindak ujaran deklarasi diperlukan adanya syarat kelayakan (felicity condition) agar ayat yang diucapkan itu bermakna, maka langkah tambahan dalam memahami dan kemudian melaksanakan ujaran ini adalah untuk meyakinkan diri bahawa si pembicara itu memang mempunyai wewenang untuk mengatakan apa yang dia katakan. Dalam contoh (45) berikut

(45) I hereby pronounce you husband and wife

pendengar (dalam hal ini boleh juga kedua pengantin itu) akan menganggap ayat itu bermakna hanya apabila si pembicara, I, memang mempunyai wewenang untuk menikahkan orang. Kalau tidak, maka pelaksanaan dari ujaran itu tidak akan dianggap sah. Dengan kata lain, pelaksanaan tindak ujaran deklarasi hanya dapat dilakukan apabila syarat kelayakannya dipenuhi.


5. PELAKSANAAN UJARAN TAK LANGSUNG

Seorang ibu yang telah kesal dengan anaknya yang berumur tujuh tahun mungkin tidak akan secara langsung menyuruh anaknya mengambil tuala yang dia letak di lantai. Dia akan mengucapkan ayat seperti (46)

(46) Tony, berapa kali mama telah bilang untuk tidak menaruh tuala di lantai?

Mendengar ayat seperti itu, Tony tentunya tidak akan menjawab dengan ayat “Lima kali, Mak” atau “Tak ingat, Mak, berapa kali.” Dia menyedari bahawa ibunya sedang marah dan menyuruhnya mengambil tuala itu.

Pada peristiwa lain, keluarga orang Inggeris yang sedang makan dan sang ayah berkata kepada anaknya

(47) Could you pass me the salt?

tidak pula akan dijawab dengan Yes, I could atau No, I couldn’t dan diam sesudah itu kerana dia tahu bahawa ayahnya bukan sedang menanyakan kemampuan atau ketidakmampuan dia memberikan garam.

Ujaran-ujaran seperti ini dinamakan ujaran tidak langsung, ertinya, apa yang dinyatakan dengan apa yang dimaksudkan tidak sama. Ujaran seperti ini lebih sukar untuk dilaksanakan kerana ada satu fasa tambahan yang harus dilalui, yakni, fasa untuk memindahkan makna literal ke makna yang tidak langsung ini. Tetapi bagaimana kita manusia dapat memahami ujaran seperti ini dan kemudian melaksanakannya? Dalam hal ini, prinsip yang dinamakan Prinsip Kooperatif sangat membantu.

1. Prinsip Kooperatif

Dalam perilaku kehidupan sehari-hari, manusia sebenarnya mengikuti prinsip kooperatif. Bayangkan apa yang akan terjadi kalau waktu memandu motokar, orang tidak mengikuti prinsip ini. Waktu kita memegang steremg, kita tahu bahawa pemandu-pemandu lain pun mengikuti prinsip yang sama, yakni, jalan di sebelah kiri, waktu mahu belok memberi tanda, waktu parkir motorkar berada di antara dua garis parkir, dsb. Dengan masing-masing mengikuti aturan main, maka lalu lintas boleh berjalan. Tentu saja, ada kalanya (bahkan sering) orang melanggar, dan bila pelanggaran dilakukan, pasti akan ada sesuatu yang terjadi, seperti sungutan, kesesakan, atau bahkan berlanggar.

Dalam kita berkomunikasi, kita juga mengikuti prinsip seperti ini. Prinsip yang dinamakan Prinsip Kooperatif (Co-operative Principle) ini pertama kali dikemukakan oleh ahli falsafah H. Paul Grice pada serentetan kuliahnya tahun 1967. Pada da-sarnya prinsipel ini memberikan landasan mengapa manusia dapat saling berkomunikasi. Landasan ini disebut sebagai mak-sim (maxim). Grice memberikan empat jenis maksim (Grice 1975; Thomas 1998: 176-179; Mey 2001: 71-79)

i. Maksim Kuantiti

Maksim ini menyatakan bahawa sebagai pembicara informasi yang kita berikan haruslah seinformatif mungkin, tetapi jangan lebih dan jangan kurang informatif daripada yang diperlukan. Kalau informasinya kurang lengkap akan terjadi salah faham. Perhatikan contoh berikut:

(48) A: Tadi malam saya lihat Pak Mulyadi sama perempuan.
B: Ah, masak. Apa tak takut ketahuan isterinya.
A: Ya, tidaklah, bukankah perempuan
itu isterinya.

Dalam percakapan ini ada pelanggaran maksim kuantitas kerana informasi yang diberikan oleh A kurang dari yang seharusnya. Kerana kurangnya informasi ini maka B menjadi salah menger-ti. Sebaliknya, ayat (49) juga melanggar maksim kuantitas tetapi dalam pengertian yang terbalik. Kalau Pak Mulyadi adalah orang yang sudah kita kenal, maka informasi seperti pada ayat (49) ini berlebihan.
(49) Tadi malam saya lihat Pak Mulyadi – itu, guru kita, yang mengajar fonetik dan kaedah dan yang rambutnya gondrong itu – sama perempuan.

Dengan perkataan lain, pada maksim ini informasi yang diberikan hendaknya pas – tidak kebanyakan dan tidak kesedikitan.

ii. Maksim Kualiti

Maksim ini membimbing orang untuk tidak mengatakan apa yang menurut dia tidak benar; kita juga hendaknya tidak mengatakan sesuatu yang tidak ada bukti kebenarannya. Kalau seorang pembicara mengujarkan sesuatu dan menurut dia sendiri saja sudah tidak benar, pegangan apa yang dapat dipakai oleh pendengar untuk memahami ujaran itu? Sebagai misal, kalau pembicara tahu bahawa Pak Wijoyo tidak ada di Jakarta kerana dia sedang berada di Leipzig, maka ayat (50) melanggar maksim kualiti.

(50) Pak Wijoyo sekarang ada di Jakarta

Begitu pula kalau dia tidak tahu di mana Pak Wijoyo berada, maka ayat (50) juga melanggar maksim kualitas. Dalam hal yang mana pun pendengar tidak akan pernah tahu apakah yang diucapkan oleh interlokutor dia itu benar atau tidak. Dengan de-mikian, komunikasi pastilah terganggu.

iii. Maksim Hubungan

Pada maksim ini kita diharapkan untuk memberikan informasi yang relevan terhadap tujuan percakapan. Seandainya kita baru saja membeli mobil baru, dan kita menggambarkan mobil itu kepada teman kantor maka informasi seperti (51) tidaklah rele-van.

(51) … kereta itu warnanya merah. Cap catnya kalau tak salah Danapaint, nombor 3021, dan pencair yang dipakai bukan pencair cap butterfly yang tinnya hijau, tetapi yang merah …dst.

Informasi mengenai cap cat, nombor cat, warna tin untuk pencair, dsb itu tidak relevan, dan juga berlebihan, dalam konteks gambaran kereta baru itu. Gambaran seperti ini telah keluar dari tujuan percakapan tadi.

Begitu juga kalau menurut pembicara si pendengar tidak tahu siapa Mujio itu, maka ayat (52) tidak mempunyai makna bagi pendengar; baru setelah ditambah dengan informasi yang relevan seperti pada (53) komunikasi tadi tidak terganggu.

(52) Mujio mendapat pekerjaan di Trakindo
(53) Mujio, anak saudara saya yang baru lulus D-III (Diploma Tiga), mendapat pekerjaan di Trakindo.

iv. Maksim Cara

Dalam berkomunikasi, orang juga harus mengungkapkan pikirannya secara jelas. Beza antara perkataan akan dan dapat, misalnya, dapat menimbulkan gejolak yang besar bila presiden memakai perkataan dapat sedangkan yang dikutip oleh media masa adalah perkataan akan seperti dalam ayat (54) berikut

(54) Presiden akan memberhentikan Panglima ABRI.

Pembicara juga harus menghindar dari ayat-ayat yang taksa. Bila yang memprotes adalah wanita muda, sedangkan perianya ada yang muda dan ada yang tua, maka kita memakai ayat (55) dan bukan (56)

(55) Men and young women were protesting the new marriage law
(56) Young men and women were protesting the new marriage law

kerana pada (56) terkandung ketaksaan, yakni, (a) boleh perianya saja yang muda, tetapi juga (b) boleh kedua-duanya.

Orang pada umumnya juga menghindari kekacauan dalam menyatakan peristiwa. Ayat seperti (57) akan sangat mengganggu pengertian si pendengar.

(57) Kemarin kami ke Puncak. Sebelum itu, singgah dulu di Kebun Raya Bogor. Di Puncak kami menginap semalam. Udaranya enak juga, tidak terlalu dingin. Di Kebun Raya kami lihat bunga bangkai yang kebetulan sedang mekar. Vila yang kami sewa cukup bersih. Bunga bangkai itu ….

2. Pelaksanaan Ujaran dan Prinsip Kooperatif

Apa kaitan antara prinsip kooperatif di satu pihak dengan pelaksanaan ujaran di pihak lain? Kaitannya adalah bahawa dalam berbahasa orang tidak selamanya menyatakan apa yang dimaksudkan secara rinci dan eksplisit. Perhatikan contoh percakapan berikut: waktu telefon berdering, mama di kamar, dan anaknya, Dony, di suatu tempat:

(58)
Mama: Don, tuh diangkat telefonnya.
Dony: Lagi beol, Ma.

Dari segi sintaksis, kedua ayat itu tidak ada hubungannya sama sekali. Akan tetapi, kerana adanya maksim hubungan yang menekankan adanya informasi yang relevan untuk mencapai tujuan percakapan maka mamanya tahu apa yang dimaksudkan oleh Dony. Bahkan akan sangat aneh kalau percakapan itu berbunyi seperti (59).

(59)
Mama: Don, tu telefon berdering; angkatlah.
Dony : Mama, Dony lagi beol. Kerana itu, Dony tidak boleh mengangkat telefon itu.

Percakapan seperti (58) tidak hanya tidak langsung, tetapi juga mengandungi implikatur tertentu. Jawapan Dony mengandungi implikasi bahawa dia tidak dapat mengangkat telefon itu kerana dia sedang buang air besar di kamar mandi.

Orang juga dapat “melanggar” maksim untuk tujuan-tujuan tertentu. Misalnya, Pensyarah A dan B sedang berbicara tentang kualiti para mahasiswa. Pensyarah A ingin tahu bagaimana kemampuan seorang mahasiswi tertentu:

(60)
A: Bagaimana si Dina, Tuan?
B: (Dengan tersenyum-senyum) Wajahnya cantik, tubuhnya juga boleh tahan.

Jawapan B di sini melanggar) maksim kualiti. B tahu apa yang ditanyakan oleh A tetapi mungkin jawapan lurusnya tidak akan enak didengar (misalnya, mahasiswi itu tidak pandai). Daripada mengatakan yang negatif, dia memilih yang positif, wajah yang cantik, tubuh yang bagus, dsb.

Seorang profesor yang diminta untuk menulis surat perakuan untuk mantan mahasiswanya yang sedang mencari biasiswa melanjutkan pengajiannya sebenarnya kurang mahu menyokongnya kerana kemampuan akademik mahasiswa ini hanya lulus saja, meskipun dia rajin. Kerana sebagai seorang ahli akademik dia harus jujur, tetapi dia juga tidak mahu mengatatakan hal-hal yang akan mengurangi peluangnya memperolehi biasiswa, dia dapat menulis begini:

(61) Tommy adalah mahasiswa yang rajin, selalu hadir dalam kuliah. Saya amati dia juga sangat serius dalam belajar. Beberapa kali saya dapati dia di perpustakaan untuk mencari bahan-bahan yang wajib dibaca. Namun keseriusannya ini tidak membuat dia terpencil daripada mahasiswa yang lain kerana saya lihat dia dapat bergaul dengan para mahasiswa lain … dsb, dst.

Perhatikan bahawa pada surat perakuan di atas, sama sekali sang profesor tidak menyinggung kemampuan akademik dia, padahal dalam pengajian justeru inilah yang diperlukan. Dengan perkataan lain, profesor ini telah melanggar beberapa maksim: maksim kualiti (kerana dia tidak memberikan gambaran cukup informatif), maksim hubungan (kerana dia tidak memberikan informasi yang relevan untuk tujuan surat itu), dan maksim cara (kerana dia, secara sengaja, tidak jelas dalam memberikan informasi).

Teori Grice mengenai Prinsip Kooperatif ini sangat berpengaruh dan mendapat tanggapan yang luas. Orang berbantah untuk membela atau mengritik teori ini. Sanggahan yang umum dilontarkan adalah bahawa teori ini adalah seperti mengatur bagaimana manusia harus berperi laku dalam kehidupan dunia (Thomas 1998: 176-179). Banyak manusia yang berkomunikasi dengan melanggar aturan Grice dan hal ini dilakukan bukan dalam rangka melangar maksim itu. Dalam kehidupan sehari-hari sering kita dengar ujaran atau wacana dengan pemikiran yang tidak runtun atau pemberian informasi yang tidak jelas, dsb.

4. 3 Langkah-langkah dalam Pelaksanaan Ujaran Tak Langsung
Dari gambaran di atas dapatlah disimpulkan bahawa ujaran taklangsung memerlukan pemprosesan yang lebih rumit dan lebih lama sebelum dapat dilaksanakan. Secara singkat proses tersebut adalah:

a. Tentukan makna yang langsung terlebih dahulu.
b. Tentukan apakah makna langsung ini yang dimaksudkan.
c. Sekiranya bukan, tentukan makna tak langsungnya dengan memperhatikan prinsip kooperatif dan aturan percakapan yang lain.
d. Ambil langkah untuk melaksanakan tindak ujaran ini sesuai dengan makna yang ditentukan pada c.